MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
PENGGEMPUR berbisa skuad Bawah 16
tahun negara (B-16), Luqman Hakim Shamsudin berdepan misi serampang dua mata
pada kempen Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018.
Empat jaringan yang
disumbangkannya ketika membenam Tajikistan 6-2 pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Nasional
Bukit Jalil, semalam nyata terus membakar semangatnya untuk terus merobek
gawang lawan yang bakal dihadapi selepas ini.
Bukan setakat memburu gelaran
penjaring terbanyak namun dia akan terus berusaha keras bagi merealisasikan
misi Malaysia ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) yang akan berlangsung di
Peru, tahun hadapan.
“Ini kali pertama saya
menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan. Ini sudah tentu memberikan
motivasi untuk saya hadapi perlawanan seterusnya.
“Saya mahukan gelaran Kasut Emas
dan bukan itu sahaja, saya mahu Malaysia layak ke Piala Dunia B-17. Saya akan
memberikan yang terbaik untuk memenuhi impian ini.
“Meskipun meledak empat gol
tetapi saya tidak boleh berpuas hati. Saya perlu bekerja keras untuk terus
kekal membarisi kesebelasan utama,” katanya.
Pada aksi semalam, Luqman
membuktikan betapa dia adalah bintang dalam pembikinan dan bakal menjadi
tonggak penting buat skuad negara apabila meledak empat gol masing masing pada
minit ke-30, minit ke-42, minit ke-46 dan minit ke-67.
Selepas mengutip tiga mata
pertama, skuad bimbingan Lim Teong Kim itu akan berdepan jaguh Asia Tenggara,
Thailand pada Ahad ini sebelum menutup kempen bertemu juara dua kali, Jepun
pada Rabu depan.
Mengulas mengenai aksi bertemu
skuad Gajah Perang itu, Luqman menjangkakan aksi yang berbeza akan dihadapi
oleh rakan sepasukannya.
“Thailand sebuah pasukan yang
baik dan sudah tentu mereka akan memberikan tentangan yang lebih sengit,”
katanya.
Kejuaraan B-16 AFC 2018
menawarkan empat slot ke Piala B-17 2019 di mana empat pasukan terbaik akan
mara ke saingan berprestij itu sebagai wakil AFC.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 21 September 2018 @ 5:53 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan