MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PENULARAN wabak Covid-19 di
seluruh dunia turut memberi kesan kepada penyerang muda sensasi negara, Luqman
Hakim Shamsudin yang mungkin terpaksa menangguhkan pemergiannya ke benua
Eropah.
Luqman, 18, yang sepatutnya
terbang ke Cardiff City FC bulan lalu sebagai persediaan awal sebelum menyertai
kelab Liga Satu Belgium, KV Kortrijk dinasihatkan supaya menangguhkan
perjalanan ekoran wabak itu.
Bagaimanapun, dengan perkembangan
terkini yang dilihat semakin meruncing terutama di benua Eropah, Luqman
terpaksa menangguhkan lagi hajatnya hingga ke satu tarikh yang belum pasti.
Menurut Setiausaha Agung
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, penyerang kelahiran
Kota Bharu, Kelantan itu ketika ini masih menjalani latihan bersama pasukan
Selangor II bagi memastikan kecergasannya di tahap terbaik.
“Akhir bulan lalu dia sepatutnya
berlepas ke Cardiff tetapi pihak Cardiff menasihatkan supaya jangan sebab isu
Covid-19 yang melanda Eropah adalah serius dan akan beri risiko kepada Luqman.
Kami pun terima kalau Cardiff tak galakkan dia pergi dan dia hanya akan terus
pergi ke Belgium pada penghujung bulan ini.
“Tapi itulah dekat Eropah pun
sekarang isu Covid-19 tengah meluas, jadi kita tak boleh nak kata apa sebab
mungkin tertangguh lagi. Tapi sebab nak masuk musim bunga, mungkin masalah ini
akan kurang sikit,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Sebelum ini, pemilik kelab KV
Kortrijk yang juga ahli perniagaan dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan tertarik
dengan kebolehan yang ada pada Luqman dan menawarkan kontrak profesional selama
lima tahun kepadanya.
DR JOHAN KAMAL HAMIDON
Berdasarkan perancangan awal,
Luqman sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di Cardiff City sebagai
persediaan sebelum ke KV Kortrijk, namun pemergiannya tertangguh sebanyak dua
kali termasuk kegagalan mendapatkan visa serta isu Covid-19.
Kata Dr Johan, walaupun Luqman
masih ‘tersangkut’, beliau memuji sikap pemain skuad bawah 19 tahun negara itu
yang komited dan berdisiplin dalam latihan setiap hari.
“Sudah tentu Luqman dah tak sabar
nak pergi ke luar negara sebagai pemain profesional dan dia memang teruja nak
beraksi di sana. Komitmen dan semangat dia masih membuak-buak dan membara. Dia
sedar bukan senang beraksi di sana dan sebab itu dia berusaha keras kerana
pergi bukan untuk bercuti.
“Kami pun gembira ada pemain
macam dia yang memiliki mental dan karakter yang sangat baik dan saya harap dia
kekalkan sikap sama apabila berada di sana nanti,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:01 AM.[1]