Oleh Media Mulia
6 Januari 2021, 10:17 am
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua bulan disisih akibat kecederaan, Luqman Hakim Shamsudin bersedia membuat penampilan kedua dalam Liga Pro Belgium hujung minggu ini apabila diturunkan pada aksi
persahabatan semalam.
Penyerang remaja negara itu disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika KV Kortrijk menentang Excel Mouscron di Stade Le Canonnier, sekali gus mencerahkan peluang beraksi pada pertemuan dengan Genk, Sabtu ini.
Luqman, 19, atau lebih dikenali sebagai Luqie muncul pemain Malaysia pertama beraksi dalam liga utama Eropah apabila berdepan Anderlecht pada 24 Oktober lalu.
Biarpun mempamer aksi baik dalam perlawanan itu, namun kecederaan paha menyebabkan dia terpaksa berehat panjang dan tempoh tersebut digunakan oleh pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu untuk membina otot.
“Yves Vanderhaeghe (jurulatih) mencuba ramai pemain muda dalam kesebelasan utama seperti Luqman.
“Selepas ketinggalan dua gol (pada babak pertama) kami menunjukkan tidak balas yang lebih baik pada separuh masa kedua,” kata Kortrijk dalam laman web rasmi kelab semalam.
Dalam perlawanan tersebut, Luqman beraksi selama 45 minit pertama sebelum diganti pada separuh masa kedua yang menyaksikan hanya Lucas Maus dan Adam Jakubech beraksi penuh 90 minit.
Kortrijk tumpas 2-1 dalam perlawanan itu, namun aksi tersebut hanya pemanas badan buat Reds sebelum berdepan kelab tangga kesembilan, Genk di laman sendiri.
Selepas mengharungi 19 perlawanan, Kortrijk kini menduduki tempat kelapan dengan 26 mata hasil tujuh kemenangan, lima seri dan lima kalah.SUMBER-SUKAN UM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan