Sabtu, 14 November 2020

Kecil tapi berbakat

MyMetroUtama



Oleh Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih KV Kortrijk, Yves Vanderhaege mendedahkan kehadiran Luqman Hakim Shamsudin dalam pasukan mengubah stigma terhadap pemain Asia yang sebenarnya berbakat walaupun memiliki fizikal kecil.

Bercakap menerusi dokumentari #TheJourneyOfLuqie yang disiarkan laman rasmi pasukan itu, Vanderhaeghe berkata, pemain berasal dari Kota Bharu itu boleh menjadi pemain terbaik untuk mereka menerusi latihan intensif yang diterapkan kepada Luqman.

Malah, beliau juga mengagumi semangat Luqman yang sentiasa menunjukkan persembahan terbaik walaupun bermain dalam perlawanan persahabatan.

"Luqman ketika ini menjalani latihan intensif bersama pasukan utama dan apa yang boleh dilihat dia semakin baik dan cepat menyesuaikan diri bersama rakan lain.

"Pada peringkat awal, dia bermain dalam perlawanan persahabatan dan dalam tempoh 30 minit bermain sudah menjaringkan gol.

"Situasi ini begitu menakjubkan seterusnya bagus untuk motivasikan diri bagi meningkatkan lagi prestasi pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, katanya, KV Kortrijk dalam proses untuk membentuk pemain itu dan membantu dia meningkatkan kekuatan fizikal asasnya dalam perjalanan menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang.

"Kami menjalani ujian fizikal ke atasnya sebelum ini kerana mahu mengetahui sejauh mana catatannya. Dia jelas tidak berada dalam keadaan yang terbaik pada masa itu. Jadi, dia diberikan program latihan individu.

"Dia masih perlu masa untuk menjadi pemain yang baik untuk kami. Ketika ini, dia menjalani latihan demi latihan kerana kita mahu keadaan asasnya dapat dicapai pada tahap sepatutnya," katanya.

Terdahulu, program latihan diberikan pasukan itu tampak membuahkan hasil selepas pemain itu memperlihatkan perubahan fizikalnya.

Menerusi kemas kini gambar terbaharu di Instagramnya, pemain itu tampak semakin berotot dan 'sado'. Sementara itu, rakan sepasukan Luqman, Loic Ritiere turut mengakui produk kelahiran Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu mempunyai keistimewaan sebagai pemain apabila mampu menghidu peluang untuk menjaringkan gol.

"Dia sangat pantas dengan bola di kaki selain ada daya pecutan bagus dan memiliki penyudah kemas.

"Dia juga lincah apabila melihat bagaimana untuk membuat hantaran kepada rakan sepasukan," kata pertahanan kiri itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 7:01 AM

Ahad, 1 November 2020

Kali ini main lebih lama?



AKSI Luqman Hakim Shamsudin (kanan) ketika menentang Anderlecht dalam penampilan sulungnya bersama KV Kortrijk di Liga Pro Belgium minggu lalu. – IHSAN KV KORTRIJK

Oleh Media Mulia

1 November 2020, 10:00 am

KUALA LUMPUR: Selepas membuat penampilan bersejarah ketika menentang Anderlecht minggu lalu, Luqman Hakim Shamsudin bersedia diturun­kan buat kali kedua bersama KV ­Kor­trijk dalam Liga Pro Belgium menentang Zulte Waregem esok.

Minggu lalu, penyerang remaja sensasi berusia 18 tahun itu beraksi dalam 16 minit terakhir permainan dan sentuhannya membawa kepada gol tunggal Kortrijk, biarpun pasukan tersebut akhirnya tumpas 1-3.

Selepas bekerja keras untuk mendapat tempat dalam skuad utama, pengendali pasukan, Yves Vanderhaeghe memuji bakat graduan sulung Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) itu, sekali gus memberi bayangan dia mungkin menjadi watak penting Kortrijk.

Malah, kelab Belgium itu turut melancarkan dokumentari khas mengenai perjalanan Luqman dari Kota Bharu, Kelantan itu diberi tajuk #The Journey of Luqie.

Luqman mempunyai bakat luar biasa. Kami perlu membentuknya menjadi pemain terbaik dan melatih dia agar dapat ber­aksi mengikut tempo sebenar.

Saya percaya tempo permainan Eropah lebih mencabar dari di Malaysia dan kami sedang menyiapkannya untuk ber­aksi mengikut tempo sebenar Eropah,” kata Vanderhaeghe dokumentari yang dilancarkan semalam.

Sementara itu, Luqman me­ngakui nikmat menjaringkan gol di pentas Eropah amat luar biasa dan membuatkannya cukup bersemangat untuk membuktikan kemampuan.

Dia diberi peluang beraksi selama 30 minit dalam perlawanan persahabatan pertamanya bersama pasukan senior September lalu dan berjaya mencipta impak dengan membantu mereka menang 2-1 ke atas BX Brussel.

Saya menjaringkan gol di Eropah untuk pasukan Eropah, skuad utama KV Kortrijk. Biarpun cuma aksi persahabatan, saya gembira,” kata Luqman.

Menurut Luqman, Vanderhaeghe banyak memberi tunjuk ajar dan meningkatkan keyakinannya, malah jurulatih itu memberi kata-kata semangat sebelum dia masuk mengggantikan Peter Golubovic pada minit ke-74 dalam pertemuan menentang Anderlecht.

SUMBER-UM ONLINE