Oleh Zulfaizan Mansor - Disember 20, 2020 @ 6:32pm
zulfaizan@bh.com.my
Luqman Hakim Shamsuddin (kiri) dan Safawi Rasid. - Foto ihsan vocket fc.
KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Azman Adnan percaya skuad Harimau Malaya akan menjadi lebih mantap sekiranya lebih ramai pemain muda mengikut jejak langkah Luqman Hakim Shamsudin dan Safawi Rasid untuk beraksi di luar negara.
Dia yang juga bekas penyerang sensasi Selangor berkata pemain muda akan mendapat pengalaman sangat berguna di luar negara yang pasti berbeza dengan apa yang mereka peroleh di Liga Malaysia (Liga M).
Katanya, sudah tiba masa untuk bola sepak negara melangkah jauh ke depan dengan mendedahkan pemain muda yang berbakat kepada pengalaman beraksi di luar negara.
"Kalau lagi ramai bermain di Eropah, lagi bagus untuk pasukan kebangsaan. Kita dapat lihat macam pasukan Jepun, berapa ramai pemain mereka bermain di luar negara?
"Jadi kita cuba ambil satu langkah ke depan. Jika ada pemain kita yang betul-betul berbakat, kita hantar, kenapa tidak mencuba? Tak cuba tak tahu, yang penting kita cuba, sentiasa positif.
"Kalau ada lapan pemain, tidak kisah (bermain dengan) kelab mana-mana atau divisyen berapa pun, tapi bila dia balik, dia akan dapat pengalaman yang berbeza daripada Liga M," katanya.
Luqman ketika ini beraksi di Liga Belgium bersama kelab KV Kortrijk manakala Safawi pula menyertai kelab Portugal, Portimonense SC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Safawi bagaimanapun dilaporkan akan kembali ke pangkuan JDT musim depan, sekali gus kemungkinan tidak akan menamatkan tempoh pinjaman selama semusim itu.
Ditanya mengenai perkembangan itu, Azman bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menjelaskan hanya Safawi dan JDT yang mengetahui apa yang mereka lakukan.
"Ini bergantung kepada Safawi dan pengurusan (JDT), mereka yang lebih tahu. Saya tak boleh nak buat apa-apa komen. Sama ada dia balik atau tidak balik, itu antara mereka," katanya.SUMBER-BH OLINE