Ahad, 31 Januari 2021

Luqman bawa 'pembakar semangat' ke Belgium

 



LUQMAN tiasa berhubung dengan ibunya, Hasmah Che Soh dan bapa tersayang, Shamsudin Mahmood setiap hari yang sentiasa menjadi pendengar setia disamping sumber motivasi. FOTO Ihsan KV Kortrijk

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mei atau Jun ini pastinya bulan paling dinantikan penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin apabila bercadang untuk membawa ibu dan bapanya ke Belgium.

Selepas meninggalkan tanah air hampir enam bulan pada Ogos lalu untuk mengejar cita-citanya beraksi di Eropah, Luqman mengakui menyimpan hasrat membawa kedua orang tuanya bagi melihat sendiri kehidupannya sebagai pemain bola sepak di KV Kortrijk (KVK).

Jelas Luqman, dia sentiasa berhubung dengan ibunya, Hasmah Che Soh dan bapa tersayang, Shamsudin Mahmood setiap hari yang sentiasa menjadi pendengar setia disamping sumber motivasi buatnya berjuang di sana.

Katanya, pada mulanya dia berhasrat untuk membawa keluarganya pada Disember lalu, namun disebabkan cuaca sejuk yang melanda Eropah dari November hingga April ini, dia terpaksa menangguhkan dulu perjalanan ibu bapanya.

"Kalau ikutkan saya nak bawa ibu bapa saya datang ke sini (Belgium) bulan 12 (Disember lalu) hari itu. Nak bagi mereka lihat kehidupan saya dekat Belgium ini macam mana.

"Tapi di sini terlalu sejuk jadi saya rasa tak sesuai untuk mereka datang. Mungkin lepas habis musim sejuk saya akan bawa mereka ke sini.

"Mungkin dalam bulan lima (Mei) mereka akan ke sini. Liga (Liga Belgium) pun mungkin sudah habis, jadi saya ada banyak masa untuk tunjuk mereka tempat ini," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menandatangani kontrak lima tahun bersama KVK untuk muncul sebagai pemain pertama Malaysia beraksi di Jupiler Pro League Belgium.

Malah, dia turut melakar sejarah apabila muncul anak tempatan pertama membuat penampilan dalam liga utama Eropah selepas diturunkan sebagai pemain gantian ketika KVK menentang RSC Anderlecht pada 24 Oktober lalu.

Pada aksi itu, Luqman yang dimasukkan pada minit ke-74 berjaya membawa impak apabila pasukannya berjaya meraih gol saguhati pada lewat permainan hasil gerakkannya yang menyaksikan KVK tewas 1-3.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 10:31 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan