Selasa, 9 Februari 2021

Luqman dapat jurulatih baharu

MyMetroTopic

Firdaus Hashim




him@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui perlu bekerja lebih kuat bagi memikat perhatian pengurus baharu KV Kortrijk (KVK), Luka Elsner yang dilantik menggantikan Yves Vanderhaeghe minggu lalu.

Jelas Luqman, setiap jurulatih memiliki pandangan dan kemahuan berbeza mengikut acuan taktikal yang ingin diterapkan.

"Saya belum lagi berlatih dengan jurulatih baharu kerana beliau masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sini. Tapi saya dan pemain lain ada jumpa dan berbincang dengannya mengenai pasukan. Beliau minta saya berusaha lagi dalam latihan supaya dapat bersaing dengan pemain lain.

"Saya ambilnya secara positif dan sekarang saya kena usaha lagi untuk dapat kepercayaan jurulatih. Beliau ada cara tersendiri dan saya yakin beliau mampu bawa sesuatu kepada pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Vanderhaeghe yang sudah bersama KVK sejak 2018 dipecat susulan kekalahan 1-3 kepada Charleroi dalam aksi Liga Belgium yang menyaksikan KVK gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut.

Tempat Vanderhaeghe digantikan oleh jurulatih berusia 38 tahun dari Slovenia itu yang menandatangani kontrak selama tiga tahun di Guldensporenstadion.

Ketiadaan Vanderhaeghe pastinya memberi kesan kepada Luqman kerana jurulatih itu sebelum ini cukup berani menyenaraikan tonggak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dalam beberapa aksi termasuk diturunkan sebagai pemain gantian ketika menentang RSC Anderlecht.

"Memang jurulatih sebelum ini banyak bagi peluang kepada saya. Tapi saya percaya kalau saya tunjukkan permainan dan prestasi terbaik, sudah tentu jurulatih baharu pun akan beri peluang.

"Saya nak berada dalam senarai perlawanan kerana prestasi saya dan bukan sebab lain. Jadi saya akan tingkatkan lagi usaha dan harap dapat bermain lagi," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 9:48 PM

Rabu, 3 Februari 2021

Luqman tak kisah tukar nombor jersi

Oleh Zulfaizan Mansor - Februari 3, 2021 @ 11:09am

zulfaizan@bh.com.my



Luqman Hakim Shamsudin dengan jersi nombor 9 kelab KV Kortrijk.

KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin menegaskan dia tidak kisah mengenai nombor jersi yang dipakai bersama KV Kortrijk.

Ia selepas jersi 'nombor 9' KV Kortrijk yang sebelum ini disarung pemain muda itu kini diberikan kepada legenda kelab Belgium itu, Teddy Chevalier.

Luqman berkata pertukaran nombor jersi itu tidak menimbulkan sebarang masalah dan ia juga tidak membabitkan keputusan daripada pengurusan kelab terbabit.

Sebaliknya, dia sendiri dengan rela hati menyerahkan nombor jersi itu kepada Chevalier yang sebelum ini menjadi nombor keramat penyerang berusia 33 tahun itu bersama KV Kortrijk.

"Memang ada tukar (nombor jersi) dengan Teddy iaitu legenda KV Kortrijk. Bukan pengurusan kelab yang tukar, tapi kami sendiri yang sepakat buat keputusan ini.

"Saya pun kurang bermain, jadi apa salahnya saya bagi penghormatan pada dia sebab dia pun sudah lama dengan KV Kortrijk selain menjadi penjaring gol terbanyak. Jadi saya bagi penghormatan pada dia.

"Dia pun minta kebenaran saya nak tukar sebab nombor itu sebelum ini nombor keramat dia di KV Kortrijk. Saya pun muda lagi, tak kisahlah pakai nombor berapa pun.

"Benda ini tak jadi masalah, tiada nak risau apa, hanya tukar nombor saja. Cuma segelintir rakyat Malaysia yang buat jadi masalah sampai ada yang pergi tanya dekat 'page' KV Kortrijk," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Semalam, BH Sukan melaporkan jersi 'nombor 9' KV Kortrijk tidak lagi menjadi milik Luqman dan penyerang kelahiran Kota Bharu, itu bakal menggunakan jersi nombor 99. Chevalier kembali menyertai KV Kortrijk buat kali ketiga tahun ini selepas kali pertama pada 2013 hingga 2015 dan kali kedua pada 2017 hingga 2019.sumber-SUKAN BH ONLINE

Isnin, 1 Februari 2021

TMJ nafi dengki kelab Belgium ikat Luqman Hakim

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 13, 2020 @ 3:49pm

zulfaizan@bh.com.my


PENAFIAN TMJ menerusi akaun Insta Story miliknya.

KUALA LUMPUR: Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan dakwaan beliau dengki dengan keputusan kelab Belgium, KV Kortrijk mengikat pemain muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.

Tuduhan itu dibuat beberapa pihak susulan kenyataan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendakwa urusan perpindahan terbabit sebenarnya dilakukan atas 'permintaan' beberapa pemimpin negara sebelum ini.

TMJ menjelaskan kenyataan atau komen yang dibuat beliau di laman sosial Instagram itu adalah perkara yang betul.

"Ada kepala? Semua cakap TMJ dengki. Awak ingat dengan apa yang Allah sudah kurniakan dalam hidup saya ini, saya ada masa nak cemburu atau dengki ke?

"Kalau benda bagus saya cakap bagus, kalau tidak saya cakap tidak," katanya menerusi akaun Insta Story miliknya hari ini.

"Pakai otak yang ada dan fokus kepada dua baris terakhir. Dua benda mustahak dan positif saya cakap yang semua tak peduli.

"Pertama semoga berjaya. Kedua jangan jadi victim (mangsa) kepada conman (penipu)."

Semalam, TMJ mencetuskan perdebatan hangat berkaitan perpindahan Luqman ke KV Kortrijk selepas mendakwa perpindahan bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu didalangi 'modal politik' dan bukan atas tiket merit ataupun kemampuan pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.

Terdahulu, penyerang muda negara itu mengesahkan sudah mendapat panggilan daripada KV Kortrijk untuk menyertai kelab Belgium itu, minggu depan.

Malah, perpindahannya juga tampak 'direstui' Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang mengesahkan pihaknya akan melepaskan Luqman secara percuma meskipun pemain itu memiliki kontrak bersama mereka.SUMBER-BH ONLINE

Jersi nombor 9 bukan lagi milik Luqman

Oleh Zulfaizan Mansor - Februari 1, 2021 @ 9:35pm

zulfaizan@bh.com.my



Luqman Hakim Shamsudin dalam satu aksi bersama kelabnya, KV Kortrij di Belgium dengan memakai jersi nombor 9. - Foto ihsan Reddit.

KUALA LUMPUR: Jersi 'nombor 9' KV Kortrijk dikhabarkan tidak lagi menjadi milik penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Ia selepas paparan senarai pemain kesebelasan utama KV Kortrijk ketika menentang Charleroi dalam saingan Liga Belgium baru-baru ini menunjukkan jersi berkenaan digunakan Teddy Chevalier.

Chevalier yang kembali menyertai kelab Belgium berkenaan tahun ini, menyarung jersi itu dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu lalu selepas sebelum ini menyarung jersi nombor 34.

Difahamkan pertukaran nombor itu dibuat sebagai memberi penghormatan kepada Chevalier yang dianggap pemain legenda pasukan itu.

Menurut laporan, Chevalier pernah membuat 176 penampilan bersama Kortrijk dan menjaringkan 53 gol serta menyumbang 37 bantuan jaringan.

Ini adalah kali ketiga dia menyertai KV Kortrijk sepanjang kerjayanya selepas kali pertama pada 2013 hingga 2015 dan kali kedua pada 2017 hingga 2019.

Jadi tidak hairanlah pemain veteran berusia 33 itu diberikan penghormatan untuk menggunakan nombor keramat bagi seorang penyerang.

Selain itu, terdapat dakwaan bahawa Luqman akan menggunakan jersi baharu bernombor 99.SUMBER-SUKAN BH ONLINE