Rabu, 21 April 2021

Menu ringan bersahur



LUQMAN

Kuala Lumpur: Ketika ada yang bersahur hidangan enak seperti nasi dengan lauk pauk, lain pula ceritanya buat bintang muda negara di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin apabila memilih menu lebih ringan ketika bersahur.

Luqman yang beraksi dengan kelab KV Kortrijk (KVK) dalam saingan Liga Belgium memilih kurma dan roti bagi mengalas perutnya untuk ibadah puasa di siang hari.

Walaupun menunya itu serba ringkas, pemain berusia 19 tahun itu mengakui ia satu rahmat apabila dapat berpuasa di perantauan buat kali pertama selepas mengikat kontrak lima tahun dengan KVK pada Ogos tahun lalu.

"Saya bersahur pada jam 4 pagi dan pada 4.30 sudah tamat waktu bersahur. Saya hanya bersahur kurma, roti, yogurt dan air.

"Saya makan kurma untuk tenaga dan bagi saya, ia tiada masalah kerana latihan saya hanya dua jam dan boleh berehat pada sebelah petang," katanya.

Menurutnya, tempoh berpuasa yang panjang di Belgium selama 17 jam adalah pengalaman baharu buatnya.

"Letih memang letih tetapi hendak buat macam mana, saya kena paksa diri juga. Kalau di Malaysia, latihan dalam bulan puasa cuma pada waktu malam tetapi di sini (Belgium), kami ada latihan di sebelah pagi," katanya.

Saingan Liga Belgium yang baru saja berakhir pada hujung minggu lalu menyaksikan KVK menamatkan kempen musim ini di tangga ke-14 daripada 18 pasukan bertanding.

Club Brugge muncul juara dengan mengumpul 76 mata selepas mengharungi 34 aksi musim ini.

Pada aksi terakhir liga antara KVK dan Mechelen FC, pengurus pasukan, Luka Elsner menyenaraikan Luqman dalam pasukan untuk perlawanan terbabit namun penyerang Harimau Malaya itu tidak beraksi dengan pasukannya tewas 1-4.1

Disiarkan pada: April 21, 2021 @ 7:10am

___________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan