Khamis, 20 Mei 2021

Potensi Luqman pikat Cheng Hoe

 Oleh Zulfaizan Mansor - Mei 20, 2021 @ 11:41am

zulfaizan@bh.com.my



Luqman Hakim Shamsudin (kiri) ketika bersama skuad Harimau Malaya menjalani latihan pusat di Johor Bahru sebelum ini. - Foto ihsan Facebook FAM.

KUALA LUMPUR: Sumbangan besar kepada skuad bawah 19 tahun (B-19) negara dan pendedahan di Belgium antara faktor Luqman Hakim Shamsudin disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya bagi mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, awal bulan depan.

Bintang muda yang beraksi untuk kelab KV Kortrijk itu dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang masing-masing berusia 19 tahun menjadi pemain paling muda berada dalam skuad Harimau Malaya yang akan memulakan perjalanan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata barisan kejurulatihan sudah membuat penilaian rapi termasuk dari segi potensi yang dimiliki Luqman sebelum memanggil penyerang kelahiran Kota Bharu itu.

"Saya akan beri peluang kepada pemain muda. Sudah pasti kami barisan kejurulatihan akan menilai bukan saja umur, malah dari segi pembangunan untuk masa depan.

"Sebab itu kita pilih dia. Kita tahu Luqman sudah bermain dengan skuad B-19 dengan prestasi yang baik, selain juga dapat pendedahan baik bersama kelab KV Kortrijk di Belgium.

"Jadi itu beberapa kriteria yang kita rasakan Luqman boleh diketengahkan dalam skuad kebangsaan," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

Luqman bersama tiga lagi pemain skuad Harimau Malaya yang berpengkalan di luar negara iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan dan Liridon Krasniqi akan terus terbang ke Dubai untuk bersama skuad itu.

Skuad kebangsaan akan mengharungi aksi persahabatan menentang Kuwait pada 23 Mei ini sebelum satu lagi perlawanan pemanas badan berdepan Bahrain di Manama, 28 Mei.

Bagi aksi kelayakan, skuad Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).

Dalam pada itu, Cheng Hoe menafikan khabar angin seorang pemain dari Terengganu FC (TFC) akan dipanggil pada saat akhir untuk menyertai skuadnya ke Dubai.

"Setakat ini 25 pemain yang kita panggil amat baik dan kita harap dari segi kesihatan semua berada dalam keadaan terbaik. Kami belum ada perancangan lagi (panggil pemain baharu), kalau ada kita akan maklumkan," katanya.1

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/05/818688/potensi-luqman-pikat-cheng-hoe

Tiada ulasan:

Catat Ulasan