Ahad, 18 Julai 2021

Kelincahan Luqman curi perhatian

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Luqman (tengah) diturunkan dalam aksi pramusim KVK. FOTO Ihsan FB Luqman Hakim Shamsudin

Kuala Lumpur: Penyerang sensasi negara di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin terus mengumpul minit permainan apabila beraksi selama 25 minit pada aksi pramusim berdepan KSV Oudenaarde dengan kelabnya, KV Kortrijk (KVK) mencatat kemenangan 6-1 di tempat lawan awal pagi tadi.

Kemenangan terbabit adalah yang kelima buat KVK dalam tujuh aksi pramusim di mana Luqman sudah merekodkan sejumlah 117 minit secara keseluruhan dalam empat aksi yang diturunkan.

Jumlah minit melebihi 100 minit permainan itu sememangnya cukup baik buat Luqman atau lebih dikenali dengan panggilan Luqie oleh rakan sepasukan dan peminat bola sepak KVK.

Walaupun tidak berjaya meledak sebarang gol dalam tempoh minit aksi itu, gerakan pantas menerusi larian deras serta kawalan bola menarik sering mencetuskan keadaan kelam kabut di depan kubu lawan sekali gus membuka peluang buat rakan sepasukan meledak gol.Berdasarkan statistik, Luqman sudah bermain dalam lima aksi dengan kesemuanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60 ke atas kecuali ketika aksi menentang kelab terkemuka Belgium, Club Brugge yang menyaksikan dia dimasukkan pada minit ke-84.

Begitupun apa yang menarik, dalam lima aksi yang Luqman bermain itu KVK berjaya mencatat semua kemenangan, manakala dua aksi yang berakhir seri dan tewas pula bermain tanpa sentuhan pemain Harimau Malaya itu.

Pengendali KVK, Luka Elsner tampak mula mempercayai akan kemampuan Luqman dan ia dapat dilihat ketika aksi berdepan Sparta Petegem apabila Elsner tetap memasukkan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu meskipun dia dilaporkan mengalami sedikit kecederaan ringan sebelum perlawanan.

Dengan perkembangan positif Luqman ketika ini, tidak mustahil aksinya akan bertambah matang dan mampu muncul antara penyerang harapan KVK selain skuad Harimau Malaya dalam aksi antarabangsa selepas ini.

KVK dijadual mengakhiri aksi pramusim dengan menentang juara Ligue 1 Perancis musim lalu, LOSC Lille awal pagi ini sebelum membuka tirai Liga Belgium musim ini bertemu RFC Seraing di Stadium Guldensporen, pada 25 Julai.

Disiarkan pada: Julai 17, 2021 @ 12:49pm.1

___________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/731638/kelincahan-luqman-curi-perhatian

Isnin, 12 Julai 2021

Perkembangan Luqman gembirakan Cheng Hoe

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Luqman Hakim (kiri) ketika menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan.

Kuala Lumpur: Perkembangan positif bintang muda bola sepak negara di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin nyata menggembirakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang percaya penyerang lincah itu bakal menjadi aset berharga buat pasukan negara selepas ini.

Menurut Cheng Hoe, beliau sentiasa memantau dan mengikuti rapat prestasi semasa ayam tambatan KV Kortrijk (KVK) itu yang dilihat kini kerap diturunkan dalam perlawanan pramusim.

Katanya, walaupun ia hanya bersifat aksi persiapan menjelang pembukaan Liga Belgium hujung bulan ini, namun beliau menganggap pendedahan yang diberikan itu akan mampu mematangkan lagi permainan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu."Inilah pentingnya untuk Luqman mendapatkan lagi minit permainan bersama kelabnya. Jika kerap diturunkan sama ada sebagai pemain gantian ataupun utama, Luqman akan meraih pengalaman berguna untuk dirinya.

"Dia seorang pemain yang berusaha keras dan ada keistimewaan, saya yakin dia akan jadi lebih baik dari semasa ke semasa dan itu beri kebaikan bukan saja untuk dirinya, tetapi juga pasukan kebangsaan apabila ada tugasan antarabangsa," katanya kepada Arena Metro.

Luqman, 19, yang mula menyertai KVK pada Ogos tahun lalu dengan kontrak panjang selama lima tahun, semakin menunjukkan peningkatan apabila berjaya membawa impak setiap kali diturunkan.

Terbaharu, dalam beberapa aksi persahabatan sejak awal bulan ini, kemasukan Luqman sebagai tonggak gantian berjaya mengubah keputusan perlawanan termasuk ketika KVK menewaskan kelab terkemuka Belgium, Club Brugee 1-0, pada 4 Julai lalu.

Biarpun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada lima minit terakhir babak kedua, kelincahannya dilihat berjaya mengucar kacirkan benteng pertahanan lawan yang gagal mengekang kepantasannya.

Malah sebelum itu, dia juga beraksi cemerlang membantu KVK menewaskan KRC Harelbeke 5-0 dan pengendali kelab, Luka Elsner dilihat mula menaruh kepercayaan kepadanya.

"Kalau dia terus konsisten dan tunjukkan sikap positif dalam perlawanan mahupun pada luar latihan, tak mustahil jurulatih kelab dia akan beri peluang kepada Luqman untuk bermain apabila liga di sana bermula nanti," tambah Cheng Hoe.

KVK akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang kelab gergasi Perancis, Lille yang juga juara bertahan Ligue 1 selepas mengenepikan kelab kaya, Paris Saint Germain pada musim lalu dengan perlawanan ujian itu pada hujung minggu ini.

Luqman dan rakan sepasukan dijadual memulakan kempen musim ini dengan menentang RFC Seraing pada 25 Julai ini.Disiarkan pada: Julai 12, 2021 @ 8:38pm.1

_____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/729836/perkembangan-luqman-gembirakan-cheng-hoe


Sabtu, 10 Julai 2021

50 pemain bersaing ‘pikat’ Maloney



BRAD Maloney mempunyai 50 senarai pemain yang akan membentuk pasukan untuk kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun, tahun depan.

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

11 Julai 2021, 10:00 am

PETALING JAYA: Biarpun menjadi pasukan pilihan dalam kumpulan J bagi aksi Kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2022 yang berlangsung di Mongolia, Oktober ini namun jurulatih pasukan negara B-19, Brad Maloney tidak mengambil mudah cabaran berkenaan.

Skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk muncul juara kumpulan jika kekuatan sebelum ini dijadikan ukuran apabila diletak bersama Mongolia, Laos dan Thailand.

Pengendali dari Australia itu berkata, dia memiliki senarai pemain seramai 50 orang dan perlu mencari pemain terbaik untuk mengharungi kempen tersebut.

Katanya, dia perlu berbincang dengan pasukan-pasukan dan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagi mendapatkan pelepasan pemain dalam membuat persediaan menghadapi kelayakan berkenaan.

Perancangan untuk skuad ini adalah memberi pendedahan di peringkat antarabangsa sebanyak mungkin. Kita mempunyai hubungan baik dengan semua pasukan untuk mendapatkan kebenaran pelepasan pemain.

Saya juga perlu berbincang dengan Cheng Hoe untuk mengetahui perancangan beliau terhadap Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman ​​Hanapi. Jika tidak berlaku pertembungan program saya ingin mereka berdua bersama pasukan.

Duo ini ada dalam perancangan saya. Selepas undian saya ada bercakap dengan Luqman dan dia teruja serta bersemangat untuk mewakili negara dalam apa jua kejohanan. Kita akan berbincang dengan kelabnya (KV Kortrijk),” kata Maloney dalam sidang akhbar maya, semalam.

Dalam pada itu, Maloney juga menegaskan bahawa pasukannya juga sentiasa memantau prestasi pemain lain yang berpengkalan di Eropah, termasuk Jaami Qureshi yang kini bersama kelab Brighton & Hove Albion namun masalah kewarganegaraan memberi kesukaran untuk mendapatkan pemain tersebut.

PENGALAMAN luas Luqman Hakim Shamsudin bersama pasukan senior akan turut menjadi taruhan.

Maloney mempunyai dua peluang untuk mengadakan kem latihan berpusat mengikut kalendar FIFA iaitu di antara 30 Ogos hingga 7 September dan 4-12 Oktober, dimana sesi latihan dan perlawanan persahabatan sama dijalankan skuad kendalian Cheng Hoe.

Pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Arif dan Luqman telah dipilih menyertai skuad kebangsaan dan jika Cheng Hoe memanggil mereka menyertai pasukan, bermakna kedua-dua pemain itu tidak akan bersama skuad Maloney.

Kelayakan B-23, yang akan diadakan pada 23-31 Oktober itu, juga akan menyaksikan pertembungan tarikh bagi aksi suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia.

Sekiranya Arif dan Ramadhan dipanggil untuk menyertai skuad B-20 tahun negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai kuasa mutlak untuk melepaskan mereka atau tidak kerana kejohanan berlangsung di luar kalendar FIFA.

Sebilangan besar daripada mereka bersama pasukan Liga Perdana dan tidak berada di Piala Malaysia tetapi yang lain hanya melibatkan satu-dua kelab, maka itu tidak akan memberi banyak kesan,” ujarnya.1

_______________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/50-pemain-bersaing-pikat-maloney/

Maloney tagih khidmat Luqman, Arif

Oleh Syafiq Aznan - Julai 10, 2021 @ 5:25pm

syafiq.aznan@bh.com.my



DARI kiri; Luqman Hakim Shamsudin, Brad Maloney dan Arif Aiman Hanapi.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 20 tahun negara (B-20), Brad Maloney mengesahkan dua pemain kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi akan memperkuat skuad itu bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23.

Malah, Brad turut mendedahkan Luqman yang kini beraksi bersama KV Kortrijk bersedia untuk mencurah keringat bersama skuad B-20 pada kelayakan yang akan berlangsung di Mongolia, Oktober depan.

"Ya, sudah pasti mereka dalam perancangan saya. Saya bercakap dengan Luqman selepas undian semalam (kelmarin) dan nampaknya dia begitu bersemangat untuk beraksi di peringkat mana sekalipun.

"Kami perlu berbincang dengan pasukannya untuk melihat komitmennya bersama pasukan itu. Tetapi setakat ini, mereka memang ada dalam perancangan kita," katanya.

https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/837896/maloney-tagih-khidmat-luqman-arif

Pada masa sama, Brad menegaskan tiada perlawanan yang boleh dianggap mudah pada pusingan kelayakan itu memandangkan tiga pasukan terbabit - Thailand, Mongolia dan Laos - menjanjikan saingan yang sengit buat anak buahnya.

"Sebagai tuan rumah, Mongolia pasti mahu berikan yang terbaik dan dengan bimbingan jurulatih dari Jepun, mereka akan ada organisasi yang lebih baik dan bakal memberikan aksi yang sukar kepada kita.

"Kita sentiasa berdepan kesukaran apabila menentang Laos, jadi saya jangka mereka akan turunkan skuad terbaik mereka kerana mereka pun pasti mahu layak ke pusingan seterusnya.

"Tiga aksi yang sukar tetapi saya percaya barisan pemain akan mampu memberi saingan dan mereka tidak sabar untuk beraksi," katanya.1

___________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/837896/maloney-tagih-khidmat-luqman-arif

Ahad, 4 Julai 2021

Luqman curi tumpuan lagi

WARTAWAN SINAR HARIAN | | 04 Julai 2021




Luqman Hakim sekali lagi mencuri tumpuan ketika membantu kelabnya, KV Kortrijk mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Club Brugee dalam aksi persahabatan, awal pagi Ahad.
PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin sekali lagi mencuri tumpuan ketika membantu kelabnya, KV Kortrijk mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Club Brugee dalam aksi persahabatan pada awal pagi Ahad.
Luqman Hakim dimasukkan pada minit ke-84 pada ketika kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan pantas mencetus impak dengan mengkucar-kacirkan pertahanan juara Liga Belgium itu.
Malah, kemasukkannya itu juga menyaksikan bahagain depan Kortrijk lebih berfungsi selain dia juga mencetuskan beberapa peluang dalam kotak penalti lawan.
Pemain berusia 19 tahun itu juga memainkan peranan penting dengan dia membuka ruang untuk gol kemenangan Kortrijk yang dijaringkan oleh Nihad Mujakic pada minit ke-88.
Sebelum ini, dia juga beraksi cemerlang ketika Kortrijk menewaskan KRC Harelbeke 5-0 pada 23 Jun lalu dan ini merupakan kali kedua pengendali pasukan, Luka Elsner menurunkan Luqman dalam aksi persahabatan.
Kortrijk akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang SC Heerenveen pada Sabtu sebelum memulakan kempen liga menentang RFC Seraing pada 25 Julai.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/147941/BERITA/Sukan/Luqman-curi-tumpuan-lagi© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

_________________________________________________

1https://www.sinarharian.com.my/article/147941/BERITA/Sukan/Luqman-curi-tumpuan-lagi

Luqman makin 'power'

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



KEMASUKAN Luqman berjaya kucar-kacirkan benteng lawan. FOTO Ihsan KV Kortrijk

Kuala Lumpur: Makin lama makin meletup!

Begitulah peningkatan yang ditunjukkan bintang bola sepak negara, Luqman Hakim Shamsudin apabila makin bersinar bersama kelabnya, KV Kortrijk (KVK) di Belgium ketika ini.

Ia susulan aksi menarik yang diperagakan pemain berusia 19 tahun itu selepas membantu KVK menewaskan kelab terkemuka Belgium, Club Brugee 1-0 pada aksi pramusim semalam.

Biarpun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada lima minit terakhir babak kedua, kelincahan Luqman dilihat berjaya mengucar kacirkan benteng pertahanan lawan yang gagal mengekang kepantasannya.

Akhirnya, gol yang dicari-cari menjelma pada minit ke-88 menerusi Nihad Mujakic yang melepaskan rembatan padu untuk menewaskan penjaga gol Club Brugee.

Walaupun Luqman tidak menjaringkan gol, kemasukan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dilihat berjaya membawa impak kepada jentera serangan pasukan yang sebelum itu sukar memecah bentang lawan.

Bagaimanapun, kehadiran Luqman mengubah corak serangan dan jaringan Mujakic adalah hasil gerakan pemain Harimau Malaya itu yang membuka ruang buat rakan sepasukannya itu melepaskan tendangan.

Apa yang pasti, Luqman dilihat semakin matang dan tidak mustahil akan diberi peranan lebih besar lagi selepas ini untuk menghadapi musim baharu Liga Belgium.

Terdahulu, dia juga beraksi cemerlang ketika KVK menewaskan KRC Harelbeke 5-0 pada 23 Jun lalu dan ini adalah kali kedua pengendali pasukan, Luka Elsner menurunkan Luqman dalam aksi persahabatan.

KVK akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang SC Heerenveen pada Sabtu sebelum memulakan kempen liga menentang RFC Seraing pada 25 Julai ini.

Disiarkan pada: Julai 4, 2021 @ 1:22pm.1

______________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/726279/luqman-makin-power