MUHAMMAD AFHAM RAMLI | | 18
November 2019
Luqman Hakim Shamsudin mampu
menjadi sehebat seperti legenda negara, Allahyarham Mokhtar Dahari sekiranya
konsisten berada pada prestasi terbaiknya. Foto: FB Sportflex Malaysia
BEKAS jurulatih kebangsaan, Wan
Jamak Wan Hassan percaya pemain muda, Luqman Hakim Shamsudin mampu menjadi
sehebat seperti legenda negara, Allahyarham Mokhtar Dahari sekiranya konsisten
berada pada prestasi terbaiknya.
Lontaran itu diberi Wan Jamak
susulan dua gol sumbangan Luqman Hakim yang membantu kemenangan 4-0 skuad Bawah
22 (B-22) kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan Petaling Jaya City
FC pada aksi persahabatan baru-baru ini.
“Kalau lihat perkembangan semasa
dia, kita nampak dia berperanan sebagai machine goal.
“Dengan kualiti yang ada pada
dirinya, saya percaya lawan sentiasa memerhati dan menggari gerakannya daripada
bergerak untuk mencipta gol... pemain lawan sudah tentu akan buat terjahan
keras yang berkemungkinan boleh membunuh karier Luqman.
“Dia macam permata dalam pasukan,
kalau dia berjaya terus menjaringkan gol, kita boleh lihat Mohktar Dahari yang
baharu atau pemain lagenda lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Wan Jamak yang juga bekas pengendali
Negeri Sembilan berharap Luqman Hakim dapat terus konsisten dan dapat bersaing
dengan pemain lebih senior dan berusia daripadanya.
Tambahnya, dengan pengalaman yang
ada pada Luqman Hakim di peringkat antarabangsa diharap juga dapat menjadikan
dia sebagai pemain yang lebih matang.
“Apa pun perlu ingat aksi
menentang PJ City itu tidaklah mempunyai tekanan tinggi dan itu beza dengan
peringkat antarabangsa dan sekiranya Luqman hendak diletakkan dalam kesebelasan
utama, ia perlu perancangan teliti daripada jurulatih kerana bimbang sekiranya
dia (Luqman) gagal menampilkan aksi terbaik, ia jejaskan mentaliti dan
psikologi.
“Luqman masih muda dan kita perlu
lihat perkembangan dengan baik. Pemain muda memang sentiasa ghairah dan
jurulatih harus berhati-hati memastikan masa depan yang baik kepada pemain
seperti Luqman,” katanya.[i]
[i] https://www.sinarharian.com.my/article/57919/BERITA/Sukan/Luqman-Hakim-mampu-sehebat-Mokhtar-Dahari