Oleh Zulfaizan Mansor - Oktober 11, 2020 @ 2:47pm
zulfaizan@bh.com.my
Bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin (kiri) dan Safawi Rasid.
KISAH keberanian bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Safawi Rasid berkelana di bumi Eropah dilihat menjadi penyeri di sebalik situasi suram arena bola sepak negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.Sekurang-kurangnya ada juga cerita yang boleh dijadikan bahan bualan masyarakat di kedai kopi ketika Harimau Malaya terpaksa berehat panjang dari aksi antarabangsa susulan wabak itu yang melanda dunia.
Tambahan pula, Liga Malaysia (Liga M) juga tampak tidak semeriah seperti biasa dengan perlawanan berlangsung tanpa penonton dan aksi lebih singkat yang mana Liga Super dan Liga Perdana hanya berlangsung satu pusingan.
Justeru, cerita remaja dari Kelantan, Luqman terbang ke Belgium, Ogos lalu dan anak muda kelahiran Terengganu, Safawi berlepas ke Portugal, awal bulan ini menarik perhatian umum.
Di sebalik perpindahan yang sepatutnya dibanggakan itu, sebenarnya banyak juga komen atau cakap-cakap negatif yang keluar dari mulut rakyat negara ini terutama menerusi kumpulan yang bergelar netizen di media sosial.
Apa yang menyedihkan, belum sempat Luqman tandatangan kontrak rasmi lima tahun bersama kelab KV Kortrijk, sudah ada komen atau cerita yang tidak enak didengar yang dilemparkan terhadap perpindahannya itu.Lebih perit apabila ada yang mendakwa penghijrahannya berlaku disebabkan bantuan 'kabel' kerana pemilik kelab Belgium itu, Tan Sri Vincent Tan adalah rakyat Malaysia.
Malah, sebelum dia berlepas ke Belgium pun, masih ada yang memperlekeh tindakan berani pemain yang baru berusia 18 tahun itu untuk membawa diri mencari pengalaman sejauh benua Eropah.Situasi sama juga turut terpalit kepada Safawi yang kini menyertai kelab Portugal, Portimonense SC secara pinjaman selama semusim.
Ada yang mengejek dan memperlekeh perpindahan itu dengan mendakwa perpindahan itu berjaya kerana bantuan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bukannya kerana kelayakan dimiliki Safawi.
Status penghijrahannya secara pinjaman juga menjadi bahan ejekan segelintir pihak yang menganggap ia bukan satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana bukan kontrak tetap yang ditandatangani.
Ada yang merendahkan semangat dua pemain dari Pantai Timur ini dengan menyifatkan mereka tidak akan bertahan lama atas beberapa faktor terutama kerana tidak mampu sesuaikan diri sebagai 'warga barat'.
Persoalannya, kenapa masih ada masyarakat kita yang bersikap demikian sedangkan pemain muda seperti Luqman dan Safawi pergi membawa nama Malaysia.Kecaman dan ejekan itu seolah-olah meletakkan hukuman buat Luqman dan Safawi atas kesilapan pemain terdahulu yang pulang dengan kegagalan selepas berkelana di Eropah.
Bukan tidak boleh kritik, tetapi biarlah kena pada tempat dan masanya. Berilah mereka peluang untuk membuktikan potensi masing-masing, bukannya belum lagi jejak kaki di Eropah kita sudah mengata macam-macam.Tidak mustahil kelab KV Kortrijk yang disertai Luqman dan Portimonense SC diwakili Safawi akan menjadi tapak untuk mereka terus mengembangkan bakat di Eropah.
Itulah juga sasaran utama Safawi yang menyimpan hasrat meletakkan namanya dikenali di seluruh dunia, selain cuba memikat kelab utama di Eropah.
Kita sepatutnya berbangga dengan produk atau jenama Malaysia yang sudah memasuki pasaran luar negara, bukannya cepat menghukum kerana mengutuk, mengecam dan mengejek ketika ini sangat mudah, hanya di hujung jari.
Pemain yang masih mentah seperti Luqman sangat memerlukan sokongan dan dorongan daripada seluruh rakyat Malaysia kerana kehidupan seorang diri di negara orang tidak semudah yang kita fikirkan.Lebih mengecewakan, segelintir orang kita lebih mengagungkan produk atau jenama import yang mana bila dengar sahaja nama pemain 'mat salleh', terus dianggap hebat.Mulut kumpulan netizen atau 'pengkritik tetap' ini tidak akan terhenti kerana tugas lebih berat menanti Luqman dan Safawi apabila pulang nanti.
Perkara itu sudah pernah dilalui Hadi Fayyadh Abdul Razak yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Fagiano Okayama.Hadi dikritik hebat apabila dianggap gagal mempamerkan aksi cemerlang ketika pulang menyarung jersi skuad muda negara pada Sukan SEA tahun lalu.
Jadi bersedialah, sekiranya pulang untuk tugas bersama Harimau Malaya nanti, 'pengkritik tetap' ini akan lupa siapa anda wahai Luqman dan Safawi.
Apa yang mereka mahu adalah melihat aksi anda sehebat Eden Hazard dan Cristiano Ronaldo.
INFO
Safawi Rasid
Umur: 23 tahun
Asal: Dungun, Terengganu
Posisi: Sayap, penyerang
Pasukan pernah disertai:
2015: T-Team
2017: JDT
2020: Portimonense SC
Nilai pasaran (Transfermarkt): RM1.46 juta
Pencapaian:
Juara Liga Super: 2017, 2018, 2019, 2020
Juara Piala Malaysia: 2017, 2019
Anugerah Pemain Tengah Terbaik: 2018
Anugerah Penyerang Terbaik: 2019
Anugerah Pemain Paling Bernilai: 2018, 2019
Luqman Hakim Shamsudin - Foto FB KV Kortrijk
Luqman Hakim Shamsudin - Foto FB KV Kortrijk
Luqman Hakim Shamsudin
Umur: 18 tahun
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Posisi: Penyerang
Pasukan pernah disertai:
2020: Selangor 2
2020: KV Kortrijk
Nilai pasaran (Transfermarkt) : RM244,000
Pencapaian: Penjaring Terbanyak Kejuaraan AFC B-16 2018.SUMBER-BH ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan