Sabtu, 22 Mei 2021

Luqman lengkapkan skuad Harimau Malaya

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

22 Mei 2021, 10:05 am



Cheng Hoe gesa barisan pemain supaya segera capai keserasian

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang tiba dari Belgium awal pagi semalam telah melengkapkan senarai 25 pemain Harimau Malaya di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada 23 dan 28 Mei ini.

Kehadiran Luqman Hakim itu telah melengkapkan skuad Harimau Malaya selepas 21 pemain yang berkumpul di Kuala Lumpur sejak Ahad lalu turut disertai tiga pemain iaitu Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Dominic Tan setibanya pasukan di Dubai, kelmarin.

Terdahulu, skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe turun menjalani sesi latihan ringan di hotel penginapan di Dubai pagi semalam dengan disertai Luqman Hakim.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap dua aksi pemanas badan menentang Kuwait dan Bahrain pada 23 dan 28 Mei ini mampu menjadi medan untuk semua pemain mencipta keserasian.

Katanya, skuad yang dibawa ke Dubai kali ini adalah antara pasukan terbaik pernah dibentuk bagi menggalas misi menghadapi baki tiga aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Justeru, Cheng Hoe menggesa pemain-pemain menggunakan masa yang ada untuk lebih serasi bagi memastikan Harimau Malaya menampilkan aksi terbaik, sekali gus layak ke peringkat seterusnya.

Skuad kali ini ada lima pemain warisan, tiga naturalisasi serta empat pemain yang berpangkalan di luar negara. Kalau lihat atas kertas, kita berjaya kumpul barisan terbaik di semua posisi.

Bagi membolehkan kita bermain sebagai satu pasukan, ke­serasian sangat penting. Oleh itu, dengan beberapa aksi pemanas dan sesi latihan, saya harap kita boleh catat keputusan positif pada tiga perlawanan kelayakan nanti.

Saya yakin semua pemain sedar cabaran kali ini berbeza ke­rana tidak ada penyokong sen­diri, jadi mereka perlu kuatkan mental dan fizikal untuk hadapi tiga perlawanan itu,” katanya kepada menerusi sidang akhbar dalam talian semalam.

Ditanya aksi menentang UAE pada 3 Jun depan, bekas pengendali Kedah itu mengakui pasukan lawan memiliki kelebihan kerana­ akan turun beraksi di laman sendiri.

Kita adalah underdog pada aksi nanti kerana mereka turun dengan sokongan padu penyokong tuan rumah. Justeru, saya mahu semua pemain fokus pada permainan sendiri.

Selain itu, kita juga akan cuba untuk kaji permainan UAE kerana­ mereka akan bertemu Jordan pada aksi persahabatan nanti. Saya tahu ia bukan senang kerana mereka bermain secara tertutup, namun kita akan cari jalan bagaimana,” ujarnya.1

___________________________________________________________

VIDEO: Sekitar hari kedua latihan skuad Harimau Malaya di padang latihan, 7he Sevens Stadium, Dubai, UAE

 VIDEO: Sekitar hari kedua latihan skuad Harimau Malaya di padang latihan, 7he Sevens Stadium, Dubai, UAE pada Jumaat, 21 Mei 2021.



Tonton video penuh di https://youtu.be/IlCYqHwnM60

#FAM #HarimauMalaya.1

_________________________________________

Baki Empat Pemain Harimau Malaya Terima Jam Tangan Edisi Terhad G-SHOCK




Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, hari ini telah menyerahkan jam tangan edisi terhad CASIO G-SHOCK Harimau Malaya kepada empat pemain yang baru melapor diri ke kem latihan pusat di Dubai, UAE.

Mereka terdiri daripada Junior Eldstal, Liridon Krasniqi, Luqman Hakim Shamsudin dan Dominic Tan.

Terdahulu 21 pemain Harimau Malaya yang lain telah pun menerima jam tangan tajaan Casio itu di Kuala Lumpur, Isnin lalu untuk dipakai mereka sepanjang kem latihan pusat menjelang baki tiga aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE, Jun ini.

#FAM #HarimauMalaya #Casio #Gshock.1

______________________________________________________

Luqman Hakim Lengkap Senarai 25 Pemain Harimau Malaya Di Dubai




Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe turun menjalani sesi latihan ringan di hotel penginapan di Dubai, UAE, pagi tadi dengan disertai Luqman Hakim Shamsudin yang tiba dari Belgium, awal pagi tadi.

Ia melengkapkan senarai 25 pemain skuad Harimau Malaya selepas 21 pemain yang berkumpul di Kuala Lumpur sejak Ahad lalu telah disertai tiga pemain iaitu Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Dominic Tan setibanya pasukan di Dubai, semalam.

#FAM #HarimauMalaya.1

_____________________________________________________________

Jumaat, 21 Mei 2021

Luqman lengkapkan skuad Harimau Malaya

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



LUQMAN tiba di Dubai pagi tadi. FOTO FAM

Kuala Lumpur: Ketibaan pemain muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsuddin di Dubai, awal pagi tadi melengkapkan senarai 25 pemain Harimau Malaya sebagai persiapan mengharungi perlawanan persahabatan dan pusingan kedua kelayakan Piala Asia 2022/Piala Dunia 2023.

Pemain berusia 19 tahun yang bermain di kelab KV Kortrijk, Belgium itu tiba kira-kira jam 5 pagi waktu Malaysia dan akan terus menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya malam ini.

Terdahulu tiga pemain negara yang berkelana di luar negara iaitu Liridon Krasniqi, Junior Eldstar dan Dominic Tan sudah tiba di Dubai sejak beberapa hari lalu sebelum menjalani sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya.

Ketiga-tiga pemain terbabit terus ke Dubai dari kelab diwakili mereka di Australia dan Thailand.

Sebelum itu, skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan selama empat hari di Stadium Nasional Bukit Jalil tanpa kelibat empat pemain berkenaan.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Dubai semalam dalam siri perlawanan persahabatan pertama menentang Kuwait Ahad ini.

Selepas menentang Kuwait, skuad kebangsaan berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei dalam aksi persahabatan kedua yang juga perlawanan Tier 1, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia yang berada di kedudukan kedua akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand, 15 Jun.Disiarkan pada: Mei 21, 2021 @ 2:36pm.1

________________________________________________________

Khamis, 20 Mei 2021

'Muda tapi ada pengalaman'

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



Luqman Hakim Shamsudin

Kuala Lumpur: Muda bukan sebarang muda tapi penuh isi dan berpengalaman di pentas antarabangsa sekali gus menyaksikan pemain bawah 19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin kemungkinan menjadi pertaruhan mengemudi jentera serangan Harimau Malaya pada baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Walaupun usianya dilihat terlalu muda untuk memikul tanggungjawab berat itu, pendedahan dan pengalamannya di pentas antarabangsa terutama beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk bukan halangan untuk menggempur gawang lawan.

Ketika ini, Luqman berada pada prestasi terbaik dengan namanya disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya dan sudah tentu sebagai petanda positif dalam menyelesaikan masalah di jentera serangan yang dilihat tumpul sebelum ini.

Situasi terbabit diakui pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang melihat pemain berusia 19 tahun itu tidak berhadapan masalah beraksi bersama skuad senior.

Beliau berkata, barisan kejurulatihan tidak melihat faktor umur semata-mata namun lebih kepada kebolehan dan kemampuan pemain terbabit menggalas tanggungjawab yang diberikan kelak.

"Setiap kali beri peluang kepada pemain muda, kita akan menilai bukan saja umur namun lebih kepada pembangunan serta kemampuannya.

"Kita lihat prestasi luqman semakin baik dan itu perkembangan positif untuk masa depan," katanya.Disiarkan pada: Mei 21, 2021 @ 7:02am.1

Potensi Luqman pikat Cheng Hoe

 Oleh Zulfaizan Mansor - Mei 20, 2021 @ 11:41am

zulfaizan@bh.com.my



Luqman Hakim Shamsudin (kiri) ketika bersama skuad Harimau Malaya menjalani latihan pusat di Johor Bahru sebelum ini. - Foto ihsan Facebook FAM.

KUALA LUMPUR: Sumbangan besar kepada skuad bawah 19 tahun (B-19) negara dan pendedahan di Belgium antara faktor Luqman Hakim Shamsudin disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya bagi mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, awal bulan depan.

Bintang muda yang beraksi untuk kelab KV Kortrijk itu dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang masing-masing berusia 19 tahun menjadi pemain paling muda berada dalam skuad Harimau Malaya yang akan memulakan perjalanan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata barisan kejurulatihan sudah membuat penilaian rapi termasuk dari segi potensi yang dimiliki Luqman sebelum memanggil penyerang kelahiran Kota Bharu itu.

"Saya akan beri peluang kepada pemain muda. Sudah pasti kami barisan kejurulatihan akan menilai bukan saja umur, malah dari segi pembangunan untuk masa depan.

"Sebab itu kita pilih dia. Kita tahu Luqman sudah bermain dengan skuad B-19 dengan prestasi yang baik, selain juga dapat pendedahan baik bersama kelab KV Kortrijk di Belgium.

"Jadi itu beberapa kriteria yang kita rasakan Luqman boleh diketengahkan dalam skuad kebangsaan," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

Luqman bersama tiga lagi pemain skuad Harimau Malaya yang berpengkalan di luar negara iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan dan Liridon Krasniqi akan terus terbang ke Dubai untuk bersama skuad itu.

Skuad kebangsaan akan mengharungi aksi persahabatan menentang Kuwait pada 23 Mei ini sebelum satu lagi perlawanan pemanas badan berdepan Bahrain di Manama, 28 Mei.

Bagi aksi kelayakan, skuad Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).

Dalam pada itu, Cheng Hoe menafikan khabar angin seorang pemain dari Terengganu FC (TFC) akan dipanggil pada saat akhir untuk menyertai skuadnya ke Dubai.

"Setakat ini 25 pemain yang kita panggil amat baik dan kita harap dari segi kesihatan semua berada dalam keadaan terbaik. Kami belum ada perancangan lagi (panggil pemain baharu), kalau ada kita akan maklumkan," katanya.1

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/05/818688/potensi-luqman-pikat-cheng-hoe

Sabtu, 15 Mei 2021

Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: Luqman Hakim manfaat ilmu di Belgium

Oleh Shaiful Shamsudin 13 Mei 2021 1076



Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023: Luqman Hakim manfaat ilmu di Belgium

Pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, tidak kekok untuk bersaing dengan penyerang lebih senior dalam usaha membarisi Harimau Malaya.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berdepan tugas getir di Dubai apabila akan mengharungi tiga baki perlawanan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Norshahrul Idlan Talaha (Sarawak United) serta duo Johor Darul Ta'zim (JDT), Guilherme De Paula dan Syafiq Ahmad, antara pilihan untuk mengetuai jentera serangan bagi menghadapi cabaran Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun depan, Vietnam (11 Jun) diikuti Thailand (15 Jun).

"Saya sudah bersedia 100 peratus di sini. Insya-Allah saya akn buat lebih baik untuk diri sendiri dan pasukan.

"Buat yang terbaik, terpulang kepada jurulatih.

"Saya akan buktikan hasil (latihan) saya di Belgium," katanya.

Sekalipun merantau ke Belgium bersama KV Krotijk, ia tidak menghalang pemain kelahiran Kelantan itu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga angkatnya.

"Alhamdulillah, biasalah kalau rindu keluarga.

"Tidak silap saya ini kali ketiga beraya di luar negara. Cuma saya tempuhi pengalaman baru kali ini sebab tanpa kawan-kawan dan keluarga," tambahnya.

Dia sempat berseloroh terpaksa meminjam baju melayu memandangkan kiriman rakannya belum sampai lagi.

"Di sini juadah Hari Raya macam di Malaysia seperti nasi lemak, rendang, lontong dan mi kari.

"Semuanya disediakan keluarga di sini, saya cuma pandai masak nasi goreng."1

________________________________________________________

1https://www.stadiumastro.com/sukan/liga-super-msia/artikel/kelayakan-piala-dunia-2022-piala-asia-2023-luqman-hakim-manfaat-ilmu-di-belgium/194257(diakses pada 15 Mei 2021)

Rabu, 12 Mei 2021

Korban pulang beraya, demi Harimau Malaya

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Luqman Hakim sepatutnya pulang ke Malaysia pada 30 April lalu selepas saingan Liga Belgium berakhir. FOTO Ihsan Luqman Hakim Shamsudin

Luqman Hakim sepatutnya pulang ke Malaysia pada 30 April lalu selepas saingan Liga Belgium berakhir. FOTO Ihsan Luqman Hakim Shamsudin

Kuala Lumpur: Beraya di perantauan sememangnya menggamit kerinduan yang menebal apatah lagi terpaksa berjauhan beribu batu daripada keluarga tersayang, namun demi menggalas tugas bersama negara perasaan itu terpaksa dikorban oleh Luqman Hakim Shamsudin.

Luqman, 19, yang kini beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk (KVK) akan terus terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 Mei ini bagi menyertai skuad Harimau Malaya di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mahu bersedia lebih awal di Belgium untuk membantu pasukan kebangsaan.

Katanya, dia sepatutnya pulang ke Malaysia pada 30 April lalu selepas saingan Liga Belgium berakhir bulan lalu namun atas kesedaran untuk membantu negara di pusingan kelayakan itu dia membatalkan hasrat untuk pulang.

Bagaimanapun, Luqman mengakui rindu untuk merasai suasana beraya bersama keluarga lebih-lebih lagi menjamah menu wajib hasil air tangan ibunya, Hasmah Che Som iaitu rendang ayam.

"Paling saya rindu masakan rendang mak saya...rendang mak saya buat sedap. Tapi itulah ini pengorbanan saya, ini permulaan untuk saya merasai pengalaman beraya di tempat orang.

"Tapi itu bukan masalah buat saya kerana dekat sini saya boleh beraya dengan keluarga Malaysia dan boleh juga makan menu wajib Hari Raya. Ia juga boleh ubati rasa rindu saya di keluarga.

"Mak saya cakap itu yang awak nak (main bola), mak selalu sokong dan suruh tak payah balik lah adik. Duduk sana cari duit, cari pengalaman yang baru dan nanti-nanti boleh balik.

"InsyaAllah, panjang umur nanti kita boleh balik, lagipun sekarang ada teknologi saya buat panggilan video dah boleh lepas rindu.," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya lagi, ibunya turut memberi sokongan dan dorongan supaya dia kekal fokus berlatih di sana sebelum menyertai skuad Harimau Malaya nanti.

"Saya sangat berterima kasih dan bersyukur rezeki saya (terpilih menyertai skuad negara), tuhan bagi untuk kali ini. Kita bermain untuk Malaysia, kita kena buat persediaan 100 peratus. Saya rasa berbangga juga dan terima kasih kepada jurulatih, Tan Cheng Hoe kerana memilih saya.

"Saya tak balik Malaysia ini sebab saya nak fokus. Saya nak fokus untuk bermain Malaysia, kalau nak ikutkan saya dah boleh balik 30 April lalu.

"Kalau ikutkan sempatlah beraya dengan keluarga, tapi saya fikir saya bermain untuk Malaysia jadi saya nak lakukan persediaan untuk Malaysia, ini tujuan utama saya," katanya yang terus menjalani latihan bersama KVK untuk persiapan musim baharu Liga Belgium.

Pada kempen kelayakan itu nanti, Malaysia akan turun berdepan UAE pada 3 Jun ini diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) untuk memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia dan peringkat ke tiga Kelayakan Piala Dunia.

Di kesempatan sambutan Aidilfitri ini, Luqman turut memohon keampunan dan mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua yang mengenali dirinya.

"Saya nak ucapkan Selamat Hari Raya kepada ibu saya Hasmah Che Soh, ayah saya Shamsudin Mahmud, kakak saya, abang saya dan kawan-kawan di Malaysia.

"Walaupun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya harap anda semua duduk kat rumah dan paling penting dengar arahan daripada kerajaan. Bila semua dah 'OK' balik, semua dah boleh berapa...rayakan sebulan dan doakan yang baik-baik, InsyaAllah," katanya.

Disiarkan pada: Mei 12, 2021 @ 11:50pm.1