Jumaat, 7 Februari 2020

Khabar 3-1 dari Slovenia


MyMetroNode
 
Firdaus Hashim dari Nova Gorica dan Slovenia
firdaushashim@hmetro.com.my
SKUAD B-15 negara tampil 'mengaum' pada aksi klasifikasi 9-12 saingan Torneo Delle Nazioni 2017 apabila menewaskan Slovenia, 3-1, di Nova Gorica, Slovenia.

Ia kemenangan pertama skuad cilik Harimau Malaya selepas tewas dalam kesemua aksi di peringkat Kumpulan B sebelum ini.

Ia sekali gus menyaksikan Malaysia bakal bersaing untuk merebut posisi ke-9 dan 10 yang dijadualkan, pada Isnin ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Vipolze, awal pagi Ahad (waktu Malaysia) - kawasan kaya dengan penanaman anggur - pasukan muda negara bimbingan Lim Teong Kim lebih banyak menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan.

Namun nasib lebih menyebelahi pasukan tuan rumah yang membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi Martin Pecar yang bijak menguis masuk hantaran rakan sepasukan dalam kotak penalti Malaysia.

Ketinggalan 0-1 tidak mematahkan semangat skuad negara apabila percubaan penyerang Luqman Hakim Shamsudin hampir menggegar gawang Slovenia namun rembatannya sekadar singgah palang gol minit ke-23.

Bagi memburu gol penyamaan, Teong Kim mengeluarkan Muhammad Amirul Ashrafiq dan memasukkan Aiman Haikhal ketika menuju lima minit terakhir babak pertama.

Percaturan bekas pengendali akademi Bayern Munich itu nyata berbaloi apabila kem negara ceria meraikan gol pertama hasil tandukan Muhammad Hariz Mansor pada minit ke-34 selepas dia memanfaatkan sepakan sudut yang diambil ketua pasukan, Mohammad Alias Alan.

Bersambung babak kedua, pemain gantian Aiman membalas kepercayaan Teong Kim apabila dia meledak gol kedua pada minit ke-40 sekali gus mendahului pasukan tuan rumah.

Tertekan dengan kedudukan itu, pemain Slovenia menukar rentak apabila kerap melakukan terjahan keras hingga mengakibatkan tonggak tengah negara Alif Daniel diusung keluar dan digantikan Harith Naem Jaineh.

Walaupun tuan rumah bermain agak keras, anak buah Teong Kim tetap kekal fokus dan mereka hampir menambah gol ketiga namun percubaan Luqman sedikit tersasar pada minit ke-55.

Ketika aksi menuju 10 minit terakhir, Aiman membuktikan ketajamannya apabila mencetak gol ketiga yang kekal hingga tamat perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 9:19 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan