MyMetroNode
Mutu pengadilan berat sebelah
nyata menyumbang kepada kekalahan kedua skuad Bawah 15 (B-15) negara dalam
saingan Torneo Delle Nazioni 2017 apabila tumbang 0-2 di tangan tuan rumah
Austria dalam perlawanan di Padang Enam Kotschach, Austria, semalam.
Perkara itu turut diakui
pengendali pasukan, Lim Teong Kim yang mempersoalkan keputusan pengadil
memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah biarpun jelas pergelutan dalam
kotak penalti itu sekadar sentuhan biasa.
“Mereka tak sepatutnya meraih
penalti kerana perebutan bola itu bagi saya 50-50. Malah, banyak lagi keputusan
pengadil yang terang-terang memihak pasukan tuan rumah.
“Sekiranya sepakan penalti itu
tidak diberikan, mungkin keputusan perlawanan boleh berubah. Jelas sekali kita
mengawal permainan dari mula hingga akhir tapi jika mutu pengadil seperti ini
(berat sebelah), saya rasa pasukan terkuat dunia pun akan kalah,” katanya
sejurus tamat aksi.
Pada aksi berlangsung dalam cuaca
hujan itu, skuad negara bermula positif apabila hampir menerjah gawang Austria
pada minit ke-5 namun percubaan dari luar kotak penalti Luqman Hakim Shamsudin
dinafikan penjaga gol tuan rumah, Philipp Jorganovic.
Selang dua minit kemudian,
Austria hampir mendahului pelawat menerusi tandukan penyerang utamanya Bernhard
Zimmermann selepas menerima hantaran silang rakan sepasukan, namun Sikh Izhan
Nazrel bertindak cemerlang untuk merebahkan badannya bagi menghalang percubaan
itu.
Memasuki pertengahan babak
pertama, skuad kendalian Teong Kim cuba meningkatkan tekanan ke kubu tuan rumah
yang menyaksikan Jorganovic agak sibuk mengawal gawangnya.
Bagaimanapun, pada minit ke-25
Austria dihadiahkan sepakan penalti selepas tonggak tengah negara Harith Haikal
Adam Afkar menjatuhkan pemain tuan rumah dalam kotak penalti dan Zimmermann
yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan Izhan.
Memulakan babak kedua, Teong Kim
membuat beberapa pertukaran khususnya di bahagian tengah dengan memasukkan
Harith Naem dan Aiman Haikhal bagi memburu gol penyamaan.
Percaturan itu bagaimanapun tidak
berhasil apabila skuad negara dibolosi pada minit ke-46 hasil jaringan
Alejandro Dominguez menerusi sepakan rendah ke penjuru kiri penjaga gol negara
itu.
Jelas, gol itu menyentap semangat
pemain negara untuk bangkit dan kedudukan 0-2 kekal hingga tamat permainan,
sekali gus menutup peluang negara melangkah ke separuh akhir.
“Selepas ini (hari ini) kita akan
bertemu Croatia bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan. Saya tetap mahukan
kemenangan buat meletakkan pasukan berada pada undian terbaik untuk aksi
klasifikasi 5 hingga 12,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 27 April 2017 @ 8:49 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan