MyMetroNode
Hasrat skuad Bawah 15 Tahun
(B-15) negara membuat kejutan dalam aksi sulung Kumpulan B saingan Torneo Delle
Nazioni tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Mexico di Stadium
Klagenfurt, Austria, semalam.
Aksi yang berlangsung di salah
satu venue Euro 2008 menyaksikan penguasaan 50-50 kedua-dua pasukan yang sering
melancarkan serangan menerusi bahagian sayap.
Skuad negara hampir meraih gol
pertama hasil larian cantik Luqman Hakim dari kawasan tengah padang, begitupun
ia gagal disudahkan rakan sepasukannya Amirul Ashrafiq yang menendang lemah
buat memudahkan tugas Eduardo Garcia menangkap percubaan itu pada minit ke-13.
Mexico yang sekali-sekala menguji
gawang negara berpeluang memecah kebuntuan pada minit ke-31, namun lambungan
Alejandro Gomez sekadar melewati palang gol.
Seminit kemudian, penjaga gol
negara Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang menghalang sepakan kencang Kevin
Mariscal dari luar kotak penalti buat melegakan seketika kem Malaysia.
Bersambung babak kedua
memperlihatkan Mexico yang dibimbing Miguel Gomez memperkemaskan rentak
permainan, bagaimanapun skuad cilik Harimau negara terlebih dulu mencemaskan
gawang lawan menerusi percubaan tonggak pertahanan Muhammad Hariz Mansor
sedikit tersasar ke kiri pintu gol pada minit ke-37.
Enam minit selepas itu jentera
tengah Mexico, Mariscal hampir meletakkan pasukannya di depan selepas bijak
menyambut hantaran Oliver Correa, tetapi rembatannya gagal menemui gawang gol.
Perlawanan menjadi semakin
sengit, namun anak buah Lim Teong Kim sekali lagi gagal memanfaatkan peluang
keemasan untuk menamatkan kebuntuan gol apabila percubaan Harith Haikal sempat
dihadang pertahanan lawan pada minit ke-48.
Keghairahan Malaysia memburu
jaringan akhirnya mengundang padah apabila Correa berjaya mencetak gol tunggal
kemenangan pada minit ke-58 hasil kelekaan pertahanan negara merantai
pergerakan penyerang itu.
Skuad negara cuba meningkatkan
tempo perlawanan untuk memburu gol penyamaan, namun pertahanan Mexico kental
bertahan hingga tamat aksi penuh yang menyaksikan Malaysia gagal meraih
sebarang mata.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 25 April 2017 @ 8:24 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan