Jumaat, 7 Februari 2020

Pemain kita ada kelas!


MyMetroNode
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Slovenia: Meskipun skuad bawah 15 tahun (B-15) negara gagal mempamerkan taring sebenar dalam saingan Torneo Delle Nazioni 2017 namun berita gembira tetap hadir sepanjang kempen kali ini apabila beberapa pencari bakat kelab Eropah mengaku tertarik dengan bakat pemain Malaysia.

Antara nama yang menjadi sebutan ialah penjaga gol Izhan Nazrel, Luqman Hakim Shamsudin (penyerang), Harith Haikal (tengah) dan Muhd Umar Hakeem (tengah).

Keempat-empat pemain berkenaan dikatakan memiliki kualiti tinggi dari segi teknik dan kemahiran yang setanding dengan pemain Eropah.

Menurut pencari bakat dari Kelab RSC Anderlecht yang berpangkalan di Belgium, Marco Ottolini, beliau terpegun dengan kebolehan empat tonggak cilik Harimau Malaya itu yang disifatkannya cukup berpotensi untuk diketengahkan di peringkat tertinggi.

Katanya, walaupun pada mulanya hanya hadir untuk menyaksikan aksi pemain Croatia pada perlawanan ketiga Kumpulan B, Khamis lalu, namun penilaiannya berubah selepas melihat corak permainan pasukan negara.

“Sememangnya saban tahun saya akan datang ke pertandingan ini (Torneo Delle Nazioni) untuk mencungkil bakat baru yang boleh di bawa ke kelab kami.

“Sudah ramai pemain yang kami berjaya lahirkan. Saya akui pemain Malaysia mempunyai kelas tersendiri, malah mereka juga hampir mengejutkan pasukan lain dan sekadar tewas tipis saja.

“Saya minat kepada penjaga gol Malaysia dan pemain bernombor 10 (Luqman), 19 (Harith) dan 16 (Umar) yang saya lihat memiliki teknik individu amat baik sekali.

“Kami akan cuba merisik dan berbincang bersama pengurusan pasukan Malaysia untuk melihat kerjasama yang mungkin kita boleh jalinkan terutama membawa mereka beraksi di kelab kami,” katanya ketika ditemui di Nova Gorica, Slovenia.

Nada sama turut dikongsi Adrien Trebelino yang juga pencari bakat bagi kelab Itali Udinese dengan beliau mahu memikat Izhan dan Harith.

“Penjaga gol Malaysia cukup tangkas dan bijak membaca bola. Fizikalnya yang tinggi juga adalah pakej mustahak untuk beraksi di liga Itali.

“Ketenangan yang dimiliki Harith di bahagian tengah mengingatkan saya kepada bekas pemain Chelsea John Obi Mikel yang sering memenangi bola dan ia boleh menjadi aset terbaik buat kelab,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:11 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan