Isnin, 7 September 2020

FB KVK kena 'serang' [VIDEO]

MyMetroArena

LUQMAN mula menjadi sebutan di Facebook rasmi KVK. FOTO AIZUDDIN SAAD

KEJAYAAN Luqman Hakim Shamsudin mengikat kontrak dengan KV Kortrijk (KVK) disambut baik oleh penyokong bola sepak tempatan, malah Facebook rasmi KVK kini turut dibanjiri peminat dari Malaysia.


Keterujaan itu dapat dilihat di ruangan komen video mengumumkan Luqman sebagai pemain baharu kelab divisyen satu Belgium itu.


Video pengumuman selama 1 minit 38 saat itu sememangnya berjaya membangkitkan keterujaan peminat yang tidak henti-henti mengucapkan tahniah kepada penyerang muda negara itu.


Malah, dalam video itu juga turut menampilkan Luqman yang bercakap dalam bahasa Belanda serta loghat Kelantan yang mencuit hati peminat negara.

Daripada jutaan ucapan tahniah, ucapan daripada bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal paling mencuri tumpuan di laman Twitter.


Jurulatih yang berjaya menghadiahkan Piala AFF pada 2010 itu mengakui berbangga dengan pencapaian Luqman dan beliau tidak sabar untuk melihat Luqman beraksi.


"Ini berita baik untuk bakat dari Malaysia. Saya ucap selamat maju jaya dan berharap dalam melihat aksinya nanti. Buat kami bangga, Luqman," kata jurulatih itu.


Semalam, Luqman melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul pemain profesional pertama dari Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.


Pada majlis menandatangani kontrak yang disaksikan pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan di sini itu, Luqman ditawarkan kontrak selama lima musim dengan gaji RM15,000-RM25,000 sebulan.


Dia yang digelar 'The Golden Boy' ekoran tercalon dalam 80 bintang muda terbaik dunia dalam anugerah 'Golden Boy' musim ini, dijadualkan berangkat ke Belgium minggu hadapan dan akan menyertai latihan bersama pasukan utama.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:47 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan