Khamis, 17 September 2020

Luqman biasakan diri dengan pasukan

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Ketiadaan bintang bola sepak negara, Luqman Hakim Shamsudin dalam skuad utama KV Kortrijk (KVK) langsung tidak mematahkan semangat penyerang muda berusia 18 tahun itu yang akan terus bersabar menanti peluang diturunkan.

Menerusi status di laman sosialnya, Luqman akan terus berusaha memikat hati pengendali pasukan, Yves Vanderhaeghe untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan terutama dalam saingan Liga Pro Jupiler.

Dia yang sudah meledakkan dua gol bersama skuad B-21 KVK dan skuad utama dalam aksi persahabatan sebelum ini masih berpeluang untuk diturunkan pada aksi akan datang.

"Sang juara akan terus bermain, hingga tiba masa yang tepat (turun beraksi)," katanya yang mengikat kontrak selama lima musim dengan kelab divisyen satu Belgium itu.

Terdahulu, penjaring terbanyak saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah-16 2018 di Kuala Lumpur itu dilihat memulakan latihan bersama skuad utama KVK minggu lalu.

Kehadiran Luqman dalam latihan itu seolah memberi bayangan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu kemungkinan akan diturunkan pada aksi menentang Royal Excel Mouscron, Sabtu lalu.

Namun hasrat peminat bola sepak tempatan untuk melihat penampilan sulung Luqman tidak kesampaian apabila namanya langsung tidak disenaraikan oleh Vanderhaeghe.

Begitupun, menurut sumber Luqman kemungkinan bakal meraih kap penampilan pertama pada awal atau pertengahan bulan depan.

"Ketika ini pengurus (Vanderhaeghe) nak Luqman biasakan dulu dengan rakan sepasukan dalam skuad utama. Mungkin bulan depan kita boleh lihat penampilan Luqman nanti.

"Tapi buat masa ini, Luqman dah berjaya buktikan kemampuan dia dalam beberapa aksi bersama skuad simpanan dan hanya tunggu masa yang sesuai untuk dia beraksi," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 7:13 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan