MyMetroArena
Firdausfirdaushashim@hmetro.com.my
"Impian saya untuk bermain di luar negara. Walau macam mana pun dekat sana, saya kena hadap kerana inilah impian saya, inilah yang saya nak."
Itu jawapan Luqman Hakim Shamsudin ketika ditemubual oleh sebuah portal youtube tempatan mengenai hala tuju masa depannya.
Walaupun tidak mengiyakan dakwaan dirinya akan kekal bersama Selangor II dalam saingan Liga Malaysia atau memilih kelab Belgium, KV Kortrijk, namun kesungguhannya untuk mencapai impian beraksi di Eropah seolah membayangkan dia bakal berhijrah ke luar negara.
Kata Luqman, impiannya masih sama iaitu untuk beraksi di luar negara dan dia akui sudah sedia untuk menyahut cabaran itu.
Malah, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga berkata, dia mahu mengubah nasib keluarganya dan mahu menghantar ibu bapanya menunaikan umrah di Tanah Suci.
"Sekarang memang tidak rasa (rindukan keluarga). Di sana baru rasa. Bagi Luqman mestilah ada rasa rindu semua. Tetapi tujuan satu sahaja iaitu untuk tolong 'family'. Balik Malaysia kena kecam pulak nanti. Jadi Luqman akan terus kekal," katanya.
Berkongsi mengenai bagaimana untuknya menyesuaikan diri dengan pemakanan di sana, Luqman menjelaskan yang pastinya ia tidak akan menjadi masalah besar buatnya dibantu pengalaman ketika bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Untuk rekod, AMD ketika di bawah kendalian Lim Teong Kim sering membawa pasukan termasuk Luqman menjelajah ke Eropah berbulan-bulan bagi membiasakan pemain muda negara dengan situasi dan cuaca di benua itu.
Sebelum ini, Arena Metro mendedahkan penjaring terbanyak Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia B-16 pada 2018 itu ditawarkan kontrak selama lima tahun oleh KV Kortrijk dengan nilai gaji RM15,000 sebulan beserta sebuah rumah.
Malah, difahamkan sekiranya prestasi Luqman meningkat, kelab Belgium berkenaan tidak berdepan masalah untuk menilai semula tangga gajinya dan sedia menambah nilai pendapatan penyerang licik itu.
Bagaimanapun, sehingga kini dia belum memutuskan tentang masa depannya biarpun KV Kortrijk secara rasminya menawarkan kontrak kepadanya.
Difahamkan, kelewatan itu disebabkan beberapa syarat yang diletakkan oleh Selangor selepas dia mengikat kontrak dengan skuad Red Giants itu pada Mac lalu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 7:01 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan