Jumaat, 7 Februari 2020

Tiada rezeki


MyMetroNode
 
Hasrat skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara membuat kejutan dalam aksi sulung Kumpulan B saingan Torneo Delle Nazioni tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Mexico di Stadium Klagenfurt, Austria, semalam.

Aksi yang berlangsung di salah satu venue Euro 2008 menyaksikan penguasaan 50-50 kedua-dua pasukan yang sering melancarkan serangan menerusi bahagian sayap.

Skuad negara hampir meraih gol pertama hasil larian cantik Luqman Hakim dari kawasan tengah padang, begitupun ia gagal disudahkan rakan sepasukannya Amirul Ashrafiq yang menendang lemah buat memudahkan tugas Eduardo Garcia menangkap percubaan itu pada minit ke-13.

Mexico yang sekali-sekala menguji gawang negara berpeluang memecah kebuntuan pada minit ke-31, namun lambungan Alejandro Gomez sekadar melewati palang gol.

Seminit kemudian, penjaga gol negara Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang menghalang sepakan kencang Kevin Mariscal dari luar kotak penalti buat melegakan seketika kem Malaysia.

Bersambung babak kedua memperlihatkan Mexico yang dibimbing Miguel Gomez memperkemaskan rentak permainan, bagaimanapun skuad cilik Harimau negara terlebih dulu mencemaskan gawang lawan menerusi percubaan tonggak pertahanan Muhammad Hariz Mansor sedikit tersasar ke kiri pintu gol pada minit ke-37.

Enam minit selepas itu jentera tengah Mexico, Mariscal hampir meletakkan pasukannya di depan selepas bijak menyambut hantaran Oliver Correa, tetapi rembatannya gagal menemui gawang gol.

Perlawanan menjadi semakin sengit, namun anak buah Lim Teong Kim sekali lagi gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menamatkan kebuntuan gol apabila percubaan Harith Haikal sempat dihadang pertahanan lawan pada minit ke-48.

Keghairahan Malaysia memburu jaringan akhirnya mengundang padah apabila Correa berjaya mencetak gol tunggal kemenangan pada minit ke-58 hasil kelekaan pertahanan negara merantai pergerakan penyerang itu.

Skuad negara cuba meningkatkan tempo perlawanan untuk memburu gol penyamaan, namun pertahanan Mexico kental bertahan hingga tamat aksi penuh yang menyaksikan Malaysia gagal meraih sebarang mata.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:24 AM

Salah pengadil!


MyMetroNode
 
Mutu pengadilan berat sebelah nyata menyumbang kepada kekalahan kedua skuad Bawah 15 (B-15) negara dalam saingan Torneo Delle Nazioni 2017 apabila tumbang 0-2 di tangan tuan rumah Austria dalam perlawanan di Padang Enam Kotschach, Austria, semalam.

Perkara itu turut diakui pengendali pasukan, Lim Teong Kim yang mempersoalkan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah biarpun jelas pergelutan dalam kotak penalti itu sekadar sentuhan biasa.

“Mereka tak sepatutnya meraih penalti kerana perebutan bola itu bagi saya 50-50. Malah, banyak lagi keputusan pengadil yang terang-terang memihak pasukan tuan rumah.

“Sekiranya sepakan penalti itu tidak diberikan, mungkin keputusan perlawanan boleh berubah. Jelas sekali kita mengawal permainan dari mula hingga akhir tapi jika mutu pengadil seperti ini (berat sebelah), saya rasa pasukan terkuat dunia pun akan kalah,” katanya sejurus tamat aksi.

Pada aksi berlangsung dalam cuaca hujan itu, skuad negara bermula positif apabila hampir menerjah gawang Austria pada minit ke-5 namun percubaan dari luar kotak penalti Luqman Hakim Shamsudin dinafikan penjaga gol tuan rumah, Philipp Jorganovic.

Selang dua minit kemudian, Austria hampir mendahului pelawat menerusi tandukan penyerang utamanya Bernhard Zimmermann selepas menerima hantaran silang rakan sepasukan, namun Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang untuk merebahkan badannya bagi menghalang percubaan itu.

Memasuki pertengahan babak pertama, skuad kendalian Teong Kim cuba meningkatkan tekanan ke kubu tuan rumah yang menyaksikan Jorganovic agak sibuk mengawal gawangnya.

Bagaimanapun, pada minit ke-25 Austria dihadiahkan sepakan penalti selepas tonggak tengah negara Harith Haikal Adam Afkar menjatuhkan pemain tuan rumah dalam kotak penalti dan Zimmermann yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan Izhan.

Memulakan babak kedua, Teong Kim membuat beberapa pertukaran khususnya di bahagian tengah dengan memasukkan Harith Naem dan Aiman Haikhal bagi memburu gol penyamaan.

Percaturan itu bagaimanapun tidak berhasil apabila skuad negara dibolosi pada minit ke-46 hasil jaringan Alejandro Dominguez menerusi sepakan rendah ke penjuru kiri penjaga gol negara itu.

Jelas, gol itu menyentap semangat pemain negara untuk bangkit dan kedudukan 0-2 kekal hingga tamat permainan, sekali gus menutup peluang negara melangkah ke separuh akhir.

“Selepas ini (hari ini) kita akan bertemu Croatia bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan. Saya tetap mahukan kemenangan buat meletakkan pasukan berada pada undian terbaik untuk aksi klasifikasi 5 hingga 12,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 8:49 AM

B-15 Malaysia pulang awal


MyMetroNode
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kotschach (Austria): Kempen skuad bawah 15 tahun (B-15) negara dalam saingan Torneo Delle Nazioni 2017 berakhir apabila tumbang kepada Austria 2-0, hari ini.

Ia kekalahan kedua peringkat Kumpulan B selepas tewas kepada Mexico 0-1 pada aksi pembukaan di Klagenfurt, Isnin lalu.

Skuad negara bermula positif dan hampir memecah kebuntuan gawang Austria m-5 namun percubaan luar kotak penalti Luqman Hakim Shamsudin dinafikan penjaga gol tuan rumah, Philipp Jorganovic.

Austria hampir mendahului pelawat menerusi tandukan penyerang utamanya Bernhard Zimmermann selepas menerima hantaran silang rakan sepasukan namun Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang untuk merebahkan badannya bagi menghalang percubaan itu.

Skuad kendalian Lim Teong Kim cuba meningkatkan tekanan ke atas pertahanan tuan rumah menyaksikan Jorganovic bekerja keras mengawal gawangnya daripada dibolosi.

Pemain tengah Harith Haikal menjatuhkan pemain tuan rumah di dalam kotak penalti dan Zimmermann mengambil sepakan menewaskan Izhan pada m-25 untuk gol pertama tuan rumah.

Teong Kim membuat beberapa pertukaran khususnya di bahagian tengah memasukkan Harith Naem dan Aiman Haikhal untuk mencari gol penyamaan.

Skuad negara bolos m-46 hasil jaringan Alejandro Dominguez untuk gol kedua Austria.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 7:58 PM

B-15 Malaysia tempat ke-10


MyMetroNode
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Slovenia: Skuad bawah 15 tahun (B-15) negara menamatkan cabaran di tempat ke-10 pada saingan Torneo Delle Nazioni 2017 di Slovenia selepas tewas kepada Rusia 0-2 dalam aksi penentuan 9/10 yang berlangsung di Stadium Brajda, Tolmin, hari ini.

Anak didik Lim Teong Kim jelas gagal memberi tentangan bermakna apabila Rusia dilihat lebih mendominasi aksi sejak awal lagi.

Tertekan dengan asakan bertubi-tubi pihak lawan, menyaksikan Muhammad Danish Ishak tertanduk bola ke gawang sendiri ketika di cuba untuk menghalang hantaran lintang pemain Rusia pada minit ke-18.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Teong Kim kembali memperkemaskan rentak namun barisan pertahanan lawan mudah menyekat segala gerakan pemain negara yang tertekan memburu gol penyamaan.

Bersambung babak kedua, Rusia terus menjarakkan kedudukan apabila menghasilkan gol kedua pada minit ke-48 menerusi percubaan Mosin Aristarkh dan ianya kekal hingga tamat aksi penuh.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 7:05 PM

Khabar 3-1 dari Slovenia


MyMetroNode
 
Firdaus Hashim dari Nova Gorica dan Slovenia
firdaushashim@hmetro.com.my
SKUAD B-15 negara tampil 'mengaum' pada aksi klasifikasi 9-12 saingan Torneo Delle Nazioni 2017 apabila menewaskan Slovenia, 3-1, di Nova Gorica, Slovenia.

Ia kemenangan pertama skuad cilik Harimau Malaya selepas tewas dalam kesemua aksi di peringkat Kumpulan B sebelum ini.

Ia sekali gus menyaksikan Malaysia bakal bersaing untuk merebut posisi ke-9 dan 10 yang dijadualkan, pada Isnin ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Vipolze, awal pagi Ahad (waktu Malaysia) - kawasan kaya dengan penanaman anggur - pasukan muda negara bimbingan Lim Teong Kim lebih banyak menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan.

Namun nasib lebih menyebelahi pasukan tuan rumah yang membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi Martin Pecar yang bijak menguis masuk hantaran rakan sepasukan dalam kotak penalti Malaysia.

Ketinggalan 0-1 tidak mematahkan semangat skuad negara apabila percubaan penyerang Luqman Hakim Shamsudin hampir menggegar gawang Slovenia namun rembatannya sekadar singgah palang gol minit ke-23.

Bagi memburu gol penyamaan, Teong Kim mengeluarkan Muhammad Amirul Ashrafiq dan memasukkan Aiman Haikhal ketika menuju lima minit terakhir babak pertama.

Percaturan bekas pengendali akademi Bayern Munich itu nyata berbaloi apabila kem negara ceria meraikan gol pertama hasil tandukan Muhammad Hariz Mansor pada minit ke-34 selepas dia memanfaatkan sepakan sudut yang diambil ketua pasukan, Mohammad Alias Alan.

Bersambung babak kedua, pemain gantian Aiman membalas kepercayaan Teong Kim apabila dia meledak gol kedua pada minit ke-40 sekali gus mendahului pasukan tuan rumah.

Tertekan dengan kedudukan itu, pemain Slovenia menukar rentak apabila kerap melakukan terjahan keras hingga mengakibatkan tonggak tengah negara Alif Daniel diusung keluar dan digantikan Harith Naem Jaineh.

Walaupun tuan rumah bermain agak keras, anak buah Teong Kim tetap kekal fokus dan mereka hampir menambah gol ketiga namun percubaan Luqman sedikit tersasar pada minit ke-55.

Ketika aksi menuju 10 minit terakhir, Aiman membuktikan ketajamannya apabila mencetak gol ketiga yang kekal hingga tamat perlawanan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 9:19 AM


Pemain kita ada kelas!


MyMetroNode
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Slovenia: Meskipun skuad bawah 15 tahun (B-15) negara gagal mempamerkan taring sebenar dalam saingan Torneo Delle Nazioni 2017 namun berita gembira tetap hadir sepanjang kempen kali ini apabila beberapa pencari bakat kelab Eropah mengaku tertarik dengan bakat pemain Malaysia.

Antara nama yang menjadi sebutan ialah penjaga gol Izhan Nazrel, Luqman Hakim Shamsudin (penyerang), Harith Haikal (tengah) dan Muhd Umar Hakeem (tengah).

Keempat-empat pemain berkenaan dikatakan memiliki kualiti tinggi dari segi teknik dan kemahiran yang setanding dengan pemain Eropah.

Menurut pencari bakat dari Kelab RSC Anderlecht yang berpangkalan di Belgium, Marco Ottolini, beliau terpegun dengan kebolehan empat tonggak cilik Harimau Malaya itu yang disifatkannya cukup berpotensi untuk diketengahkan di peringkat tertinggi.

Katanya, walaupun pada mulanya hanya hadir untuk menyaksikan aksi pemain Croatia pada perlawanan ketiga Kumpulan B, Khamis lalu, namun penilaiannya berubah selepas melihat corak permainan pasukan negara.

“Sememangnya saban tahun saya akan datang ke pertandingan ini (Torneo Delle Nazioni) untuk mencungkil bakat baru yang boleh di bawa ke kelab kami.

“Sudah ramai pemain yang kami berjaya lahirkan. Saya akui pemain Malaysia mempunyai kelas tersendiri, malah mereka juga hampir mengejutkan pasukan lain dan sekadar tewas tipis saja.

“Saya minat kepada penjaga gol Malaysia dan pemain bernombor 10 (Luqman), 19 (Harith) dan 16 (Umar) yang saya lihat memiliki teknik individu amat baik sekali.

“Kami akan cuba merisik dan berbincang bersama pengurusan pasukan Malaysia untuk melihat kerjasama yang mungkin kita boleh jalinkan terutama membawa mereka beraksi di kelab kami,” katanya ketika ditemui di Nova Gorica, Slovenia.

Nada sama turut dikongsi Adrien Trebelino yang juga pencari bakat bagi kelab Itali Udinese dengan beliau mahu memikat Izhan dan Harith.

“Penjaga gol Malaysia cukup tangkas dan bijak membaca bola. Fizikalnya yang tinggi juga adalah pakej mustahak untuk beraksi di liga Itali.

“Ketenangan yang dimiliki Harith di bahagian tengah mengingatkan saya kepada bekas pemain Chelsea John Obi Mikel yang sering memenangi bola dan ia boleh menjadi aset terbaik buat kelab,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:11 AM

Masuk kelab Belgium [METROTV]


MyMetroUtama

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
BUKAN liga utama Jepun sebaliknya liga Belgium yang bakal menjadi destinasi penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Luqman dijangka menyertai kelab KV Kortrijk musim depan dan menurut sumber, pemilik kelab berkenaan yang juga ahli perniagaan terkenal Malaysia, Tan Sri Vincent Tan tertarik dengan kebolehan yang ada pada penyerang muda negara, sekali gus sedia menawarkan kontrak profesional selama lima tahun kepadanya.

Andai menjadi kenyataan, Luqman bakal muncul anak Malaysia pertama beraksi dalam liga utama di Eropah.

Meskipun sebelum ini Nazmi Faiz Mansor pernah beraksi di Portugal bersama SC Beira Mar pada 2013, namun pemain tengah itu sekadar membuat kemunculan di liga divisyen dua.

Malah, beberapa pemain lain juga seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Samion, Rudie Ramli dan Mohd Fadzli Saari sekadar beraksi di liga bawahan sama ada di Perancis serta Jerman.

“Esok (hari ini) Tan Sri (Vincent Tan) akan mengadakan majlis mengenai kerjasama dengan NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) dan mungkin mengumumkan sesuatu mengenai Luqman.

“Jika jadi, ini satu penanda aras yang baik dan positif buat bola sepak Malaysia. Dengan pemergian dia ke sana, pasti dapat membuka jalan buat lebih ramai pemain tempatan berhijrah ke luar terutama Eropah,” katanya kepada Arena Metro.

Walaupun liga utama Belgium tidak gah seperti Liga Perdana Inggeris (England), La Liga (Sepanyol), Bundesliga (Jerman) atau Serie A (Itali), namun dengan kedudukan skuad kebangsaan Belgium di ranking nombor satu dunia membuktikan bahawa tahap persaingan yang baik di liga berkenaan.

Pemain-pemain hebat dunia seperti Eden Hazard, Romelu Lukaku, Kevin De Bruyne, Adnan Januzaj, Divock Origi dan Christian Benteke adalah hasil daripada pembangunan bola sepak di negara itu.

Berdasarkan semakan terkini kedudukan KV Kortrijk di Liga Satu Belgium, kelab itu kini berada di posisi ke-11 selepas tujuh aksi setakat ini.
 
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 6:00 AM