Ahad, 13 Oktober 2019

'Cheng Hoe kena berani rombak..


MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

BEKAS jurulatih Perak, Datuk M Karathu berpendapat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu berani melakukan rombakan termasuk memanggil segera penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin menggantikan Norshahrul Idlan Talaha di jentera serangan.

Jelas bekas pemain kebangsaan itu, berdasarkan analisisnya ketika pasukan negara tewas 0-1 di tangan Vietnam Khamis lalu, bahagian serangan jelas gagal mengatasi benteng pertahanan lawan yang lebih muda dan bertenaga.

Katanya, pasukan negara mempunyai teknik kawalan bola yang bagus namun ia masih tidak cukup kerana pergerakan penyerang negara sedikit perlahan yang akhirnya memudahkan pertahanan lawan membaca larian pemain.

"Secara keseluruhan Vietnam lebih baik daripada kita lebih-lebih lagi di bahagian serangan dan pertahanan. Tapi saya tak bermaksud bahawa pasukan kita lemah, cuma penyerang kita gagal memberi tekanan kepada pertahanan Vietnam.

"Saya lihat Norshahrul Idlan masih ada kawalan bola tetapi dia sudah tidak ada kelajuan macam dulu mungkin atas faktor usia.

Dalam hal ini, pasukan perlukan seorang penyerang yang boleh lari ke depan untuk memberi tekanan kepada lawan.

"Tapi dalam perlawanan itu, penyerang kita tak buat itu. Kita cuma pegang bola dan selepas itu hilang atau hantar balik ke belakang saja. Sepatutnya kena ada penyerang yang berani buat larian ke hadapan untuk pecahkan benteng.

"Saya rasa Luqman boleh diberi peluang kerana dia ada kepantasan serta 'IQ' bola sepak yang baik.

Kita kena cuba dan jangan takut-takut untuk memberi peluang kepadanya," katanya.M

Misi seterusnya adalah memburu enam mata maksimum apabila dijadualkan bertemu Thailand dan Indonesia, bulan depan dengan kedua-dua aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 12:08 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan