Isnin, 14 Oktober 2019

Luqman sah beraksi pada Liga Belgium

MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
21 September 2019 3:00 AM
LUQMAN (tengah) bergambar bersama Vincent (kiri), Syed Saddiq (kanan) serta kedua ibu bapanya, Shamsudin Mahmood dan Hasmah Che Soh pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain sensasi bawah 19 tahun negara (B-19), Luqman Hakim Shamsudin akan berkelana ke Eropah selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Liga Divisyen 1 Belgium, KV Kortrijk semalam.

Perkara tersebut diumumkan pada satu sidang akhbar yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abu Bakar dan pemilik kelab berkenaan, Tan Sri Vincent Tan di Kuala Lumpur semalam.

“Saya kena bersedia awal terutama­nya dari segi budaya, namun dari segi makanan tiada masalah memandang­kan saya pernah pergi ke beberapa negara Eropah untuk menyertai kejohanan di sana.


“Boleh dikatakan cabaran utama adalah kelebihan fizikal yang dimiliki pemain di sana dan saya perlu membuat persiapan rapi bermula sekarang,” kata pemain kelahiran Kelantan itu pada sidang akhbar berkenaan semalam.

Luqman yang ketika ini berusia 17 tahun merupakan pelatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan produk kelahiran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu dijangka bersama kelab Kortrijk apabila usianya genap 18 tahun pada Mac depan.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md. Ramli dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq berharap kejayaan Luqman mendapat tawaran kontrak bersama kelab profesional luar negara akan menjadi inspirasi kepada pemain muda negara yang lain untuk mengikuti jejak langkah sama.

“Saya harap Luqman mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan tidak akan pulang awal ke tanah air seperti beberapa pemain negara sebelum ini. Beberapa pegawai daripada MSN, ISN dan FAM bakal diarahkan untuk memantau perkembangannya,” katanya.

Sementara itu, Vincent Tan me­ngakui kelabnya sangat berbangga dapat menawarkan kontrak kepada Luqman yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan termasuk membantu skuad remaja Harimau Malaya muncul naib juara Kejohanan Piala AFF B-18 di Vietnam bulan lalu.

“Semua orang memberi sokongan kepada Luqman tetapi pada akhirnya, dia mesti berdisiplin dan berlatih lebih tekun, barulah jurulatih akan pasti meletakkannya sama ada dalam kesebelasan atau simpanan,” katanya yang juga pemilik kelab Cardiff City.



Sebagai rekod, Luqman merupakan pemain muda negara ketiga yang menandatangani kontrak profesional dengan liga luar negara selepas Muhd. Hadi Fayyadh Abd. Razak bersama kelab Jepun, Fagiano Okayama dan Zafuan Azeman (Ang Thong FC/Thailand). - K! ONLINE SUMBER-KOSMO ONLINE 21 September 2019 3:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan